Saturday, July 24, 2021

Zahid perlu letak jawatan, kata ahli MT Umno

Menurut Zahidi, disebabkan presiden Umno itu berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, sukar bagi parti itu mendapatkan sokongan rakyat pada PRU15.

Other News

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno menggesa Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden bagi memastikan parti itu tidak kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Utusan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata, disebabkan Zahid berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, sukar bagi parti itu untuk mendapatkan sokongan rakyat pada PRU15.

“Kalau dia (Zahid) gentleman, punyai semangat, berjiwa besar, maka letaklah jawatan. Ini adalah lebih baik untuk Umno,” kata Zahidi yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia kepada Utusan Malaysia.

“Dalam keadaan sekarang ramai yakin kepada Umno dan menjadi harapan rakyat. Tapi dengan presiden ada kes mahkamah (rasuah), mampukah Umno mendapat sokongan rakyat.”

Zahidi yang juga ahli Parlimen Padang Besar berkata, Zahid harus mencontohi pemimpin terdahulu Umno seperti Abdul Rahim Thamby Chik, Muhammad Muhd Taib dan Khir Toyo yang melepaskan jawatan parti sebaik sahaja didakwa di mahkamah.

Malam ini MT Umno akan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan sama ada keluar daripada kerajaan PN atau sebaliknya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Zahid mengaku suaranya dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Selain itu, Zahid turut mengakui menandatangai surat menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Pada April selepas MalaysiaNow mendedahkan rakaman klip audio itu, Zahid menafikannya dan mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis.

Anwar juga dalam responsnya mengatakan rakaman audio tersebar itu merupakan perancangan Bersatu untuk “menikam” pemimpin-pemimpin Umno.

Zahidi berkata, beliau dan sebahagian ahli Parlimen Umno berpandangan kerajaan PN tidak akan tumbang walaupun parti Melayu itu menarik diri.

“Kalau kita berhenti sokong PN, kita akan terlepas jawatan, peruntukan malahan kerajaan negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN),” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles