- Iklan -
Berita

Bekas peguam negara sedia selesai kes saman Dr Mahathir, kerajaan secara mediasi

Dalam tuntutan tahun lalu, Apandi memohon antara lain perisytiharan bahawa pemecatan beliau sebagai peguam negara yang dibuat oleh Dr Mahathir sebagai tidak sah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama

Mohamed Apandi Ali bersedia untuk menyelesaikan kes samannya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan secara baik menerusi proses mediasi.

Apandi selaku plaintif memfailkan saman itu pada 13 Oktober tahun lepas, memohon antara lain perisytiharan bahawa pemecatan beliau sebagai peguam negara yang dibuat oleh Dr Mahathir sebagai tidak sah.

Peguam Abd Shukor Ahmad yang mewakili Apandi berkata pihaknya telah menyerahkan borang mediasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi e-mel pada 21 Mei lalu.

“Anak guam (Mohamed Apandi) bersedia untuk perbicaraan, namun pada masa sama berbesar hati untuk berunding bagi menyelesaikan kes itu,” katanya yang turut memaklumkan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 29 September ini.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan pesuruhjaya kehakiman Latifah Mohd Tahar hari ini, yang turut disertai Peguam Persekutuan Lau Wen Yen mewakili Dr Mahathir dan kerajaan selaku defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan ketika dihubungi berkata AGC telah menerima e-mel daripada pihak plaintif.

Dalam pernyataan tuntutan, Apandi yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 12 Nov 2020, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Apandi sebagai peguam negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal itu.