- Iklan -
Berita

Pasukan bertindak tumpu kilang sangat diperlukan di Selangor, kata kumpulan industri

MEF menggesa agar politik diketepikan, operasi turut meliputi ribuan kilang haram di Lembah Klang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara.
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara.

Kumpulan mewakili pemilik syarikat di seluruh negara menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa persekutuan untuk mengetepikan perbezaan politik demi memastikan jangkitan Covid-19 dalam industri perkilangan di Selangor terkawal, mengatakan banyak syarikat sedang mempertimbangkan untuk menutup perniagaan akibat lanjutan sekatan pergerakan penuh dalam negara.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut mencadangkan Putrajaya untuk menubuhkan pasukan bertindak yang bersepadu antara kedua-dua pihak bagi menguruskan krisis Covid-19 di premis kilang di Selangor dan Kuala Lumpur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan ketika ini.

“Pasukan bertindak khas ini harus menumpukan dua negeri sementara pihak berkuasa tempatan boleh menyediakan butiran mengenai kilang-kilang sementara pihak berkuasa persekutuan ambil peranan menyaring jangkitan wabak dan vaksinasi mereka yang bekerja di kilang-kilang tersebut,” kata presiden MEF Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata tanpa pasukan bertindak sedemikian, negara akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai sasaran imuniti kelompok.

Selangor telah membentuk pasukan bertindak Covid-19 pada tahun lalu di bawah pimpinan bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, negeri itu masih melaporkan sejumlah besar kes harian sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai keberkesanan langkah-langkah yang diambil pasukan negeri itu dalam membendung Covid-19.

Syed Hussain berkata pasukan bertindak bersepadu demikian harus dapat mengesan pekerja-pekerja kilang demi menangani jangkitan dengan segera, dengan sasaran semua kilang dan perniagaan dapat beroperasi semula.

Beliau berkata sebilangan besar kilang haram di Selangor juga harus turut dilibatkan dalam usaha vaksinasi kebangsaan.

Pada tahun 2020, dianggarkan lebih 5,600 kilang haram di Selangor dan Lembah Klang.

“Kilang-kilang haram ini harus dikenal pasti dan pekerja mereka perlu disaring dan divaksin. Sekiranya kita tidak lakukan ini, maka masalah wabak tidak akan dapat ditangani,” kata Syed Hussain.

“Kita harus berani untuk menerima bahawa kilang-kilang yang sah dan yang haram ini wujud, dan mereka harus menjadi fokus pasukan bertindak yang dicadangkan ini.”

Sebelum ini, MEF berulang kali menyuarakan bantahan terhadap penguatkuasaan undang-undang yang mewajibkan perniagaan ditutup, memberi amaran majikan dan pekerja menjadi mangsa keadaan ketika ini.

“Syarikat antarabangsa yang besar dan berpangkalan di Selangor dan KL juga bimbang lockdown berpanjangan akan mempengaruhi bekalan untuk pasaran antarabangsa.

“Sebenarnya, semua kilang yang patuhi SOP harus dibenarkan beroperasi segera dan tidak ditunda lagi,” kata Syed Hussain.