- Iklan -
Berita

Firma guaman dibenar beroperasi dengan SOP ketat semasa PKPD

Setelah mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu yang lain serta melancarkan urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Firma guaman di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu dari 3 hingga 16 Julai ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata kebenaran ini diberikan setelah mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu yang lain serta melancarkan urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

“Hanya dua orang pekerja atau 20 peratus daripada jumlah bilangan pekerja, yang mana lebih tinggi, dibenarkan beroperasi dari pejabat dan waktu ditetapkan antara pukul 9 pagi sehingga 1 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi.

Katanya firma guaman juga perlu menetapkan janji temu dengan anak guam atau pelanggan sekiranya perlu berurusan secara fizikal.

Selain itu firma guaman juga boleh memohon kebenaran beroperasi melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dan kebenaran beroperasi daripada CIMS yang diperoleh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 boleh terus digunakan.

Katanya SOP PKPD perkhidmatan ini boleh dirujuk dari platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sama sama, katanya penguatkuasaan dan pemantauan akan dilakukan secara berintegrasi oleh pihak berkuasa bagi memastikan firma guaman terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan.