- Iklan -
Berita

PAS alu-alukan lantikan semula Azam sebagai KP SPRM

Pelantikan semula itu menolak persepsi negatif yang dibuat terhadap ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

PAS hari ini mengalu-alukan pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengatakan parti Islam itu sentiasa mempercayai penafiannya dalam kontroversi konflik kepentingan dalam pemilikan sahamnya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS secara konsisten mempercayai kata-katanya dalam perkara itu, sekali gus menghalang percubaan pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya dan SPRM sebagai institusi penting negara.

“PAS percaya pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau ini turut mengesahkan kepercayaan tersebut dan menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam, yang sedang disiasat berhubung dakwaan pembelian saham dan waran pada 2015 dan 2016 di dua syarikat senarai awam, dilantik semula sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun lagi berkuat kuasa 12 Mei. 

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata pelantikan semula Azam mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Isu itu didedahkan oleh bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam.

Pada Januari tahun lepas, Azam memfailkan saman fitnah terhadap Lalitha berhubung artikel aktivis tersebut yang disiarkan portal berita Independent News Service pada 15 Disember 2021.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

Azam menegaskan pembelian saham itu dibuat adiknya yang menggunakan akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) miliknya, sekali gus menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan.