Wednesday, July 21, 2021

Selangor cukup bekalan ikut kemampuan vaksinasi tapi masih berbaki, kata Khairy

Untuk semalam sahaja, Selangor menerima 1.36 juta dos vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, namun hanya 76% sahaja diberikan.

Other News

Selangor belum menggunakan sepenuhnya bekalan vaksin yang dibekalkan Putrajaya kepada negeri itu, kata Khairy Jamaluddin, menjawab dakwaan kerajaan persekutuan melengahkan dos vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata hanya Selangor sahaja yang masih berada di tahap bawah 80% dalam penggunaan vaksin ketika ini.

Beliau turut menafikan dakwaan Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud kononnya negeri itu tidak menerima dos vaksin yang cukup, mengatakan beberapa jenis vaksin telah dibekalkan berdasarkan kapasiti negeri itu untuk menjalankan pemberian suntikan vaksinasi.

Khairy berkata Selangor masih memiliki baki suntikan vaksin dalam simpanan mereka.

Beliau berkata, untuk semalam sahaja, negeri itu telah menerima 1.36 juta dos vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Daripada jumlah tersebut, hanya 76% sahaja diberikan, dengan baki sebanyak 322,605 dos lagi.

“Saya minta Selangor cepatkan kadar penggunaan vaksin, jadi tuduhan vaksin tidak dihantar tidak betul,” katanya dalam sidang media hari ini bagi mengumumkan PPV baru di Tanjung Karang, Selangor.

Khairy berkata beliau dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bahawa negeri itu mempunyai kapasiti untuk memberikan 40,000 suntikan harian bagi Jun.

“Exco kesihatan tak hadir sewaktu mesyuarat saya dengan menteri besar, di mana kerajaan negeri beritahu ia mampu berikan 40,000 suntikan sehari.

“Jadi kami bekalkan kepada mereka mengikut kapasiti itu,” kata Khairy.

Beliau berkata dalam mesyuarat bersama Amiruddin, mereka bersetuju supaya kapasiti vaksinasi di Selangor mesti melebihi 100,000 suntikan bagi Julai.

“Saya harap selangor dapat capai kapasiti 100,000 sehari mulai julai,” katanya.

“Untuk Julai, kita tingkatkan 130,000 dos sehari di Selangor.”

Beliau berkata Melaka merekodkan angka pemberian vaksin tertinggi dengan 94%, disusuli Terengganu dan Negeri Sembilan dengan 92% penggunaan.

Beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang meningkatkan penggunaan vaksin di setiap negeri mencapai sasaran 90% bermula bulan depan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles