Tuesday, July 27, 2021

Kumpulan peguam selar serbuan pendatang asing rantai pesalah, pakaian seragam timbalan menteri langgar SOP

Lawyers for Liberty berkata timbalan menteri sendiri turut melanggar SOP jabatan imigresen ketika memantau Ops Patuh yang bertujuan memastikan pematuhan SOP semasa 'lockdown'.

Other News

Kumpulan peguam hak asasi menyuarakan kebimbangan dengan cara serbuan dilakukan pihak berkuasa terhadap pekerja asing dalam operasi Ops Patuh, menyelar layanan buruk terhadap suspek-suspek kesalahan visa seperti penjenayah kesalahan berat selain turut mempersoalkan timbalan menteri kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) jabatan imigresen.

Lawyers for Liberty (LFL) berkata tindakan keras dalam serbuan awal pagi tadi terhadap pekerja asing di Selayang yang menyaksikan puluhan dirantai bersama dan dibawa masuk ke dalam trak meunjukkan sebuah trend yang membimbangkan daripada kementerian dalam negeri selepas baru-baru ini membuat kenyataan kontroversi berhubung pendatang asing.

LFL turut mempersoalkan mengapa tindakan tersebut dilakukan ketika siasatan sedang berjalan mengenai perkara pentadbiran untuk memeriksa kesahihan dokumen diri mereka.

“Sekiranya tujuan serbuan itu semata-mata untuk memeriksa kesahihan dokumen kerja mereka, maka penangkapan tidak perlu dilakukan kerana perkara tersebut dapat diselesaikan tanpa penahanan yang panjang,” kata Koordinator LFL Zaid Malek kepada MalaysiaNow.

72 warga asing yang ditangkap dalam serbuan tersebut adalah termasuk 39 orang pemegang kad UNHCR.

Zaid berkata penangkapan mereka yang memegang kad status pelarian PBB adalah satu perkara yang membimbangkan, dan ia juga menunjukkan kecenderungan pihak berkuasa untuk “tidak menghormati operasi UNHCR di Malaysia”.

“Fakta bahawa mereka ditahan bagi ‘siasatan lanjut’ terhadap dokumen mereka adalah sangat meragukan,” tambahnya.

Beliau turut berkata Ops Patuh, yang didakwa kementerian dalam negeri sebagai satu operasi bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pendatang asing sepanjang perintah kawalan pergerakan, adalah satu “topeng untuk berselindung” bagi tujuan menempatkan pendatang asing di pusat tahanan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said turut hadir dalam serbuan di Pasar Borong Selayang awal pagi tadi. Gambar: Bernama

Zaid juga turut mempersoalkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said yang turut hadir semasa serbuan kerana memakai pakaian seragam pegawai penguatkuasa imigresen.

“Jika pematuhan SOP benar-benar penting, maka jabatan imigresen seharusnya bertindak terhadap timbalan menteri dalam negeri, yang tidak diketahui apa sebabnya berpakaian seragam seperti pegawai penguatkuasa imigresen sepanjang serbuan dilakukan, ia jelas melanggar SOP jabatan imigresen,” katanya.

Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan respons dari Ismail dan ketua pengarah imigresen Khairul Dzaimee Daud masih belum berjaya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin meningkatkan serangannya terhadap UNHCR dan badan NGO kerana mengkritik keputusannya untuk melancarkan serbuan terhadap pekerja asing.

Aktivis dan pakar perubatan juga memberi amaran tindakan sedemikian boleh menjejaskan usaha vaksinasi kerajaan walaupun jaminan diberikan pendatang asing tidak akan ditangkap.

Tahun lalu, Putrajaya turut memberi jaminan ia akan menangguhkan operasi serbuan imigresen sebagai tindakan kemanusiaan sepanjang krisis Covid-19.

Kerajaan juga turut berikrar untuk memperluaskan program vaksinasi percuma kepada semua warga asing termasuk yang tidak memiliki dokumen sah.

Pendirian anti-pendatang yang diambil oleh Hamzah itu turut diburukkan lagi dengan sebuah poster yang dikongsi di akaun Twitter jabatan imigresen pada 11 Jun lalu.

Poster tersebut dikecam dan disifatkan sebagai xenofobia oleh kumpulan hak asasi Amnesty International ekoran mesej negatifnya terhadap pelarian Rohingya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles