Wednesday, October 20, 2021

Tak seperti anda, saya rancang bersara di Pulau Pinang, exco bidas gesaan Nurul Izzah henti PSI

Zairil berkata PSI akan menarik RM70 bilion pelaburan asing dan mencipta 300,000 peluang pekerjaan dalam jangka masa 30 tahun.

Other News

Kerajaan Pulau Pinang hari ini membidas beberapa dakwaan oleh pemimpin PKR Nurul Izzah Anwar yang mengatakan projek tambakan yang dipanggil sebagai Penang South Islands (PSI) akan membebankan rakyat di negeri itu selain berkata tumpuan utama ketika ini adalah usaha membangunkan ekonomi susulan impak krisis Covid-19.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari dalam kenyataannya hari ini menjawab dakwaan ahli Parlimen Permatang Pauh yang mendakwa projek tersebut tidak menguntungkan rakyat Pulau Pinang.

“Tidak seperti Nurul Izzah, saya telah membesar di Pulau Pinang, saya kini bekerja di Pulau Pinang dan merancang untuk bersara di Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya amat mengharapkan agar kita dapat mewujudkan peluang terbaik bukan sahaja untuk rakan-rakan sebaya saya, tetapi lebih penting lagi untuk anak cucu kita,” kata Zairil yang merupakan Adun Tanjong Bunga dalam respons beliau terhadap gesaan Nurul Izzah untuk hentikan PSI.

Semalam, Nurul Izzah, yang merupakan anak sulung Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, berkata PSI yang membiayai kewangan projek kontroversi Penang Transport Master Plan (PTMP) harus dibatalkan kerana kewangannya tidak mampu dibiaya selain kebimbangan berhubung impaknya terhadap alam sekitar.

Beliau berkata projek tambakan itu juga akan menjejaskan kehidupan nelayan selain meningkatkan kemiskinan.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain daripada menyuarakan bantahan ini secara terbuka dengan harapan projek penambakan ditamatkan dan digantikan dengan rancangan pembangunan dan pembaharuan ekonomi yang benar-benar lestari – sejajar dengan keperluan untuk membangun kembali dengan lebih baik, walau berskala kecil tetapi pro rakyat; serta lebih hijau dalam pemulihan global pasca pandemik,” tulis beliau dalam blog rasminya semalam.

Zairil berkata tuduhan tersebut adalah tidak benar dengan berkata krisis ekonomi yang tercetus akibat pandemik inilah yang menjadikan PSI sebagai satu projek yang lebih penting untuk dilaksanakan.

“Dalam kata lain, PSI amat diperlukan untuk menjadi pemangkin utama bagi membangunkan Pulau Pinang dalam dunia pasca Covid-19,” katanya

Beliau berkata projek tersebut akan menarik RM70 bilion pelaburan asing dan mencipta 300,000 peluang pekerjaan dalam jangka masa 30 tahun .

Zairil turut menolak kebimbangan berhubung isu alam sekitar dengan mengatakan projek tersebut dirancang dengan mengikut kajian alam sekitar, sosial, dan pentadbiran.

“Sudah tentu, ketiga-tiga pulau dalam PSI telah dirancang dengan kawasan hijau awam yang banyak, dengan 20% kawasan disediakan untuk taman dan padang, kawasan paya bakau, terusan air dan tanah lembap (wetlands) untuk mencapai penurunan suhu persekitaran,” katanya.

Zairil berkata nelayan juga mendapat manfaat daripada projek tersebut susulan pakej ex-gratia yang ditawarkan kepada para nelayan adalah pakej bayaran berskala besar yang paling lumayan di Malaysia selain ia juga menawarkan pekerjaan.

“Dengan peluang pekerjaan ini, mereka akan menikmati pendapatan yang lebih stabil dan jaminan kewangan di dalam bentuk sumbangan KWSP, iaitu satu faedah yang tidak dinikmati mereka pada waktu sekarang,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles