- Iklan -
Berita

Persepsi terhadap keadaan perniagaan lebih cerah pada suku kedua 2021

Sektor perdagangan borong dan runcit melonjak ke paras positif untuk pertama kali sejak suku ketiga 2019 dengan +5.6% pada suku kedua 2021 berbanding -11.8% pada suku pertama 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Imbangan bersih bagi semua sektor kembali pulih yang mana sektor industri dan perdagangan borong dan runcit merupakan sektor yang paling optimistik dengan imbangan bersih +12.5% direkodkan bagi kedua-dua sektor berkenaan bagi tempoh enam bulan yang akan datang. Gambar: AP
Imbangan bersih bagi semua sektor kembali pulih yang mana sektor industri dan perdagangan borong dan runcit merupakan sektor yang paling optimistik dengan imbangan bersih +12.5% direkodkan bagi kedua-dua sektor berkenaan bagi tempoh enam bulan yang akan datang. Gambar: AP

Peniaga lebih yakin pada suku tahun kedua 2021 dengan petunjuk keyakinan yang lebih baik iaitu -3.1% berbanding -11.3% yang dicatatkan pada suku tahun lalu, menurut Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Kedua 2021.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata statistik itu diperoleh berdasarkan hasil tinjauan yang telah dijalankan pada 10 Mac 2021 sehingga 26 April 2021 sebelum peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan di seluruh negara.

“Persepsi peniaga pada ketika itu tidak mengambil kira pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang diperluaskan ke seluruh negara berkuat kuasa pada 12 Mei, 2021 dan juga pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada 1 Jun, 2021.

“Sehubungan itu, jangkaan peniaga didorong kebanyakannya oleh situasi kes Covid-19 yang semakin perlahan pada ketika itu sejajar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan inisiatif yang dilaksanakan untuk merancakkan kembali ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Statistik Kecederungan Perniagaan bagi Suku Tahun Kedua 2021 yang diterbitkan pada hari ini, memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang, ia berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada setiap suku tahun.

Mohd Uzir berkata semua sektor menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih cerah untuk suku kedua 2021 sekiranya kesejahteraan ekonomi terkawal.

Antaranya, sektor perdagangan borong dan runcit melonjak ke paras positif untuk pertama kalinya sejak suku ketiga 2019 dengan +5.6% pada suku kedua 2021 berbanding -11.8% pada suku pertama 2021.

Petunjuk keyakinan bagi sektor industri dan perkhidmatan mencatat negatif yang lebih baik masing-masing dengan -1.5% dan -6.1% berbanding -4.4% dan -15.0% pada suku tahun terdahulu.

“Pada masa yang sama, sektor pembinaan kekal sebagai sektor yang paling pesimis pada suku tahun rujukan dengan perspektif yang lebih baik iaitu -30.5% berbanding -51.2% pada suku tahun sebelumnya,” kata Mohd Uzir.

Secara keseluruhan, persepsi perniagaan bagi April sehingga September, 2021, melonjak kepada trajektori positif dengan imbangan bersih +11.0% berbanding -4.6% yang direkodkan sebelumnya.

Imbangan bersih bagi semua sektor kembali pulih yang mana sektor industri dan perdagangan borong dan runcit merupakan sektor yang paling optimistik dengan imbangan bersih +12.5% direkodkan bagi kedua-dua sektor berkenaan bagi tempoh enam bulan yang akan datang, katanya.