- Iklan -
Berita

Di pedalaman Sarawak, mendapatkan vaksin lebih sukar daripada mendaftar AstraZeneca

Mereka yang hadiri suntikan vaksin Covid-19 harus hadapi kualiti buruk liputan internet dan kesukaran pergi ke pusat vaksinasi.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Bagi mereka yang tinggal di pekan kecil seperti Simunjan, di Samarahan, terletak antara Serian dan Sri Aman di Sarawak, seseorang perlu melalui jalan berbukit untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Bagi mereka yang tinggal di pekan kecil seperti Simunjan, di Samarahan, terletak antara Serian dan Sri Aman di Sarawak, seseorang perlu melalui jalan berbukit untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Ketika pendaftaran vaksinasi AstraZeneca dibuka Rabu lalu, ramai yang awal-awal lagi bersedia membuka komputer dan beberapa lagi peranti dengan laman sesawang vaksinasi itu siap dibuka bagi perlumbaan menempah slot janji temu vaksinasi di bawah program pilihan sukarela kerajaan.

Sebahagian besar kecewa kerana masalah gangguan teknikal menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan tempat dalam senarai.

Namun di kawasan pedalaman di Sarawak, di mana liputan internet sering terganggu, rasa kecewa itu lebih lagi dirasakan.

Netty Kumari dan suaminya, Abang Kiprawi Abang Abdul Latip adalah antara yang awal-awal lagi menunggu di depan komputer untuk mendaftar vaksinasi AstraZeneca.

Sambil duduk di rumah kecil di Pusa, sebuah perkampungan di Betong, seperti ratusan ribu lain di seluruh negara, mereka beberapa kali berusaha untuk beberapa muatkan semula laman sesawang itu beberapa kali.

Mereka juga risau dengan sambungan internet yang sangat tidak stabil di kawasan tempat tinggal.

“Saya buka laman sesawang pada tengah hari supaya saya dapat selesaikan proses daftar dengan cepat,” kata Netty.

“Tetapi ketika saya klik butang ‘negeri’, tiada apa-apa pun berlaku. Saya tidak terima apa-apa makluman setelah selesaikan pendaftaran. Dan ketika saya cuba lagi, pendaftaran sudah ditutup.”

Bagaimanapun, untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi sudah pasti menyukarkan mereka kerana suntikan AstraZeneca hanya diberikan di dua pusat di negeri ini, satu di Kuching dan satu lagi di Miri.

Untuk pergi ke Kuching, daerah yang lebih dekat dengan rumah, mereka harus memandu selama lima jam, menjadikan perjalanan pergi dan balik memakan masa 10 jam – satu perjalanan yang lebih sukar daripada apa yang dilalui ketika cuba mendaftar vaksinasi.

“Kami sedia untuk jalani semua prosedur demi kesihatan dan keselamatan kami,” kata Netty kepada MalaysiaNow.

“Saya tidak merasa selamat sekarang kerana pemberian vaksin terlalu lambat, terutama di tempat-tempat seperti kawasan begini, kawasan luar bandar,” tambah wanita berusia 57 tahun itu.

Sejak kebelakangan ini, Sarawak menyaksikan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Malahan golongan belia turut risau mengenai keadaan tersebut.

Vaksinasi memberikan sinar harapan kepada mereka, namun perkara lain yang perlu dihadapi m menyebabkan perkara tersebut hanya sekadar mudah diucapkan namun sukar dilakukan.

Aurelia Lawrence, 24, tinggal di bandar pesisir Mukah.

Walaupun vaksinasi yang ditawarkan adalah percuma, namun untuk mendapatkannya, dia harus pergi ke Miri atau Kuching.

Kedua-dua lokasi itu adalah sangat jauh dari tempat tinggalnya.

Kaedah paling cepat untuk sampai ke sana adalah dengan menaiki kapal terbang.

Dengan kapal terbang, perjalanan Aurelia untuk mendapatkan vaksinasi mungkin hanya memakan masa 30 hingga 45 minit.

Namun, walaupun penerbangan adalah cara terpantas, ia juga merupakan yang paling mahal.

Tiket perjalanan dari Mukah ke Miri atau Kuching berharga hingga RM200 dan ia hanya boleh dilakukan jika Aurelia mempunyai sedikit simpanan.

Jika Aurelia menggunakan perkhidmatan bas, ia mungkin lebih menjimatkan, namun terpaksa menempuh perjalanan enam hingga lapan jam yang melelahkan.

“Kosnya jauh lebih murah tetapi perjalanan jauh sangat memenatkan dengan jalan yang berbonggol-bonggol,” kata Aurelia kepada MalaysiaNow.

Jalan itu juga masih dalam proses pembinaan sebagai sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo.

Sarawak mencatatkan sebanyak 44,758 kes Covid-19 setakat ini, selain turut merekodkan 97 kematian.

Semalam, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan negeri itu akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) berskala penuh ekoran lonjakan kes baru-baru ini menukarnya daripada status PKP bersyarat.

Di kawasan pedalaman, kebimbangan mengenai lonjakan kes itu juga meningkat.

“Ia sangat membimbangkan saya untuk melihat keadaan sekarang. Ia jadi semakin teruk,” kata Netty.