- Iklan -
Berita

Tiada campur tangan politik dalam kes berprofil tinggi, kata SPRM

Perdana Menteri Muhyiddin Yasin turut memberikan komitmen kepada SPRM untuk memerangi rasuah melibatkan ahli politik dan pegawai kerajaan.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Gambar: Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Gambar: Bernama

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memberi jaminan tiada campur tangan dari pihak kerajaan dalam siasatan kes-kes melibatkan ahli politik.

Beliau berkata perdana menteri Muhyiddin Yassin memberi komitmen kepada agensi pencegah rasuah itu untuk membanteras kes rasuah melibatkan ahli politik dan pegawai kerajaan.

“Kerajaan sekarang ini tidak campur tangan dan perdana menteri sendiri memberi komitmen bahawa dia tidak akan campur tangan dalam kes rasuah sama ada dilakukan oleh pemimpin politik atau pegawai kerajaan,” kata Azam dalam program Analisis TV Al-Hijrah yang merungkai isu kartel projek bertajuk “Kartel Projek – Barah Lama atau Polemik Baru.”

“Apa-apa tohmahan yang melibatkan ahli-ahli kabinet pun, dia kata teruskan. Dia tak nak campur tangan.”

Pada 5 April lalu, SPRM berjaya melumpuhkan sindiket kartel tender projek melibatkan 354 tender kementerian serta agensi kerajaan di seluruh negara.

Sindiket kartel tersebut dianggarkan melibatkan projek berjumlah RM3.8 billion yang beroperasi sejak 2014.

Azam juga berkata sepanjang beliau berkhidmat sebagai ketua pesuruhjaya, campur tangan ahli politik dalam pengendalian kes tidak pernah berlaku.

Beliau juga memberi jaminan campur tangan ahli politik tidak akan mempengaruhi siasatan SPRM dalam menyelesaikan kes berprofil tinggi.

“Tapi saya tak nafikan memang ada yang bertanya. Tidak logik kalau tiada siapa yang bertanya.

“Tetapi saya beri jaminan, mereka hanya bertanya dan tidak akan mempengaruhi keputusan kami dalam menjalankan penyiasatan. 

“Kes tetapi kami siasat,” tambahnya.

Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) mendakwa SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis digunakan untuk memberi tekana kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).