- Iklan -
Berita

Lebih baik berjaga-jaga, kata pakar berhubung penularan Covid-19 melalui sentuhan

Pakar kesihatan bersetuju dengan penemuan CDC bahawa sentuhan permukaan bukan cara jangkitan utama, namun tetap syorkan orang ramai ambil langkah berjaga-jaga.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Anggota sukarela membuat semburan pembasmi kuman Covid-19 di kawasan taman permainan kanak-kanak disekitar flat PPR Pudu Ulu.
Anggota sukarela membuat semburan pembasmi kuman Covid-19 di kawasan taman permainan kanak-kanak disekitar flat PPR Pudu Ulu.

Pakar kesihatan berkata lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga berhubung penularan Covid-19 walaupun terdapat penemuan baru-baru ini oleh agensi kesihatan Amerika Syarikat (AS) risiko dijangkiti virus daripada sentuhan di permukaan tercemar memiliki nisbah kurang dari satu jangkitan bagi 10,000.

Sebelum ini, Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengakui permukaan-permukaan yang tercemar bukan satu cara penyebaran virus yang utama.

Dalam kemas kini garis panduannya mengenai pembersihan permukaan minggu ini menunjukkan bukti risiko jangkitan melalui cara tersebut adalah rendah.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata beliau bersetuju dengan penemuan CDC tersebut, namun tetap menyarankan orang awam untuk mengambil langkah pencegahan tambahan terutama di tempat awam.

Beliau berkata jangka hayat virus Covid-19 di luar tubuh manusia masih belum diketahui kerana ia bergantung kepada faktor lain termasuk suhu, jenis permukaan dan jenis virus.

Beliau turut menambah penularan boleh terjadi dengan cepat jika seseorang bersin atau batuk. Lendir atau cecair yang keluar dari batuk dan bersin boleh mencemari sesuatu kawasan permukaan.

“Saya faham apa yang CDC cuba katakan, tapi bayangkan jika seseorang sentuh permukaan yang tercemar selepas pesakit bersin atau batuk di atasnya.

“Sukar untuk beri jawapan berapa lama virus boleh hidup di luar perumahnya,” katanya.

Bagaimanapun, Kuljit juga mengakui orang ramai tidak boleh menganggap setiap kawasan yang mereka kunjungi dibasmi kuman sebelum mereka merasa selamat.

“Sebaiknya lakukan langkah berjaga-jaga dengan bersihkan tangan anda sekerap mungkin dan memakai pelitup muka,” katanya.

“Kita cuba gunakan lojik. Jaga kebersihan tangan dan jangan sentuh semua benda.”

Kebimbangan dijangkiti Covid-19 melalui permukaan yang tercemar pada awal pandemik mencetuskan kecenderungan orang ramai untuk memakai sarung tangan sehingga beberapa kedai masih menyediakan sarung tangan pakai buang ketika pelanggan masuk ke premis mereka.

Namun Kuljit berkata amalan tersebut mungkin lebih banyak memberi bahaya jangkitan daripada sebaliknya, kerana penggunaan sarung tangan boleh menyebabkan para pengguna merasa aman sehingga cuai dalam menjaga keselamatan mereka.

“Sebaik sahaja seseorang memakai sarung tangan plastik, secara psikologinya, mereka anggap mereka sudah dilindungi.

“Sehingga mereka dengan senang menyentuh semua tempat kerana mereka berfikir sudah dilindungi, tanpa sedar virus itu boleh tersebar dengan lebih cepat,” katanya.

Menurutnya, penggunaan sarung tangan juga tidak digalakkan di hospital.

“Di beberapa hospital, kami tidak benarkan pesakit masuk dengan memakai sarung tangan. Memakainya boleh menimbulkan rasa aman dengan diri sendiri namun ia bahaya kepada orang lain.”

Ketika pandemik Covid-19 melanda negara pada gelombang yang pertama, penyelidik memberi amaran virus itu boleh bertahan selama berhari-hari di permukaan plastik atau besi tahan karat.

Ketika itu, CDC mengumumkan jangkitan boleh berlaku jika seseorang menyentuh permukaan yang tercemar sebelum mereka menyentuh mata, hidung atau mulut mereka.

Bagaimanaun, Isnin lalu, Pengarah CDC Dr Rochelle Walensky berkata pada sidang media di Rumah Putih bukti menunjukkan risiko jangkitan melalui permukaan adalah rendah.

Beliau turut menambah pembasmian kuman hanya disarankan di tempat tertutup di mana terdapat kes yang disyaki atau disahkan dalam tempoh 24 jam.

Hal ini sejajar dengan penemuan saintis Switzerland awal tahun ini yang menemui risiko jangkitan Covid-19 dengan menyentuh permukaan tercemar memiliki nisbah “lima jangkitan dari 10,000”.

Kajian tersebut menganalisis ratusan sampel yang diambil dari permukaan yang sering disentuh dalam kehidupan seharian.

Ia turut menyimpulkan jejak virus yang dapat dijumpai pada beberapa permukaan “sangat rendah sehingga risiko jangkitan daripada sentuhan permukaan tercemar dianggap rendah”.

Bagaimanapun, saintis berkata hal ini mungkin tidak berlaku untuk objek seperti meja dan pinggan.

Kedua-dua objek itu memiliki jejak virus akibat batuk atau bersin penggunanya sekali gus “titisan virus yang tinggi” mungkin boleh ditemui.

Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Dr Raj Kumar Maharajah juga turut bersetuju dengan kenyataan terbaru dari CDC yang mencadangkan kawasan tertentu hanya perlu dibasmi kuman selepas kes jangkitan disahkan atau disyaki di kawasan tersebut.

“Ini adalah cadangan yang sangat praktikal,” katanya, dan menambah langkah berjaga-jaga harus tetap diambil di kawasan sesak sehingga kontak boleh berlaku dan pencemaran kawasan itu dengan virus mungkin terjadi.

“Saya rasa kita memang fokus pada penularan virus melalui pernafasan dan sentuhan,” katanya.

“Itulah sebabnya kita sentiasa dinasihatkan untuk menggunakan pelitup muka dan sering mencuci tangan.”

Beliau turut bersetuju memakai sarung tangan tidak seharusnya diamalkan di tempat awam.

“Memakai sarung tangan boleh menyebabkan lebih banyak risiko jangkitan. Cara terbaik adalah bersihkan tangan anda sekerap yang mungkin,” katanya dan menambah SOP yang dilaksanakan ketika ini sudah cukup untuk mencegah penularan Covid-19.