Sunday, September 26, 2021

‘Apa masalahnya kalau betul?’ kata Anwar tentang perbualan dengan Zahid

Anwar turut menjelaskan beliau belum lagi melaporkan perkara tersebut kepada polis dan tegaskan tiada kesalahan jenayah yang dilakukan beliau.

Other News

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau belum lagi melaporkan kepada polis berhubung rakaman perbualan telefon yang bocor baru-baru ini dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dilihat tidak menafikan sememangnya beliau adalah orang yang didengar mengucapkan tahniah kepada Zahid mengenai keputusan Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Saya belum lagi lapor kepada polis kerana baru pulang dari Port Dickson.

“Tapi saya sekarang memikir secara serius. Apa isunya? Isunya nak alih daripada rasuah yang menular sekarang. Penggantungan Parlimen dan pengabaian dasar dan nasib rakyat.

“Apa isi masalahnya, kalau (rakaman audio itu) betul? Ada khianat di situ? Ada rasuah di situ?, Ada kesalahan jenayah? Tidak ada,” kata beliau ketika menjawab isu yang dibangkitkan moderator forum dengan beberapa ahli akademik hari ini.

Ketika ditanya moderator apakah beliau adalah orang yang bercakap di dalam perbualan tersebut, Anwar berkata tidak ada faedah untuk rakyat bagi membincangkan perkara tersebut dalam forum tersebut.

“Saya sudah keluar kenyataan. Zahid sudah buat kenyataan. Cukup, move on,” tambahnya.

Menurut Anwar, sebelum ini juga, wujud beberapa rakaman audio yang tular dalam masyarakat yang tidak diambil tindakan oleh kerajaan.

“Ini nak jadikan modal politik dia untuk hebahkan Anwar (bersama) Zahid,” katanya lagi di samping turut menambah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga turut terpalit dengan rakaman audio yang didengar menawarkan jawatan kepada pemimpin Umno sebagai balasan mereka melompat parti.

Dalam rakaman berdurasi empat minit didedahkan MalaysiaNow, suara seakan dua pemimpin parti politik itu didengar saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu juga, Zahid didengar turut berterima kasih atas sokongan moral Anwar kepadanya.

MalaysiaNow yang menerima rakaman tersebut melalui sumber yang dipercayai boleh mengesahkan suara-suara yang dirakam tersebut adalah tulen milik dua pemimpin parti itu.

Kedua-dua pemimpin parti itu juga turut menafikan perbualan tersebut, dan berkata akan menghantar pegawai masing-masing untuk melaporkan perkara berkenaan kepada polis.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut menggesa kedua-dua pemimpin parti politik itu untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis jika mereka benar difitnah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles