- Iklan -
Berita

Pindaan undang-undang benarkan Putin tadbir Rusia hingga 2036

Beliau kini berkhidmat bagi penggal keempat, dengan tandatangannya angka penggal perkhidmatan akan dirombak menjadi kosong.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dengan peruntukan undang-undang baru, Vladimir Putin mungkin mentadbir Rusia sehingga 2036. Gambar: AP
Dengan peruntukan undang-undang baru, Vladimir Putin mungkin mentadbir Rusia sehingga 2036. Gambar: AP

Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani sebuah peruntukan undang-undang yang membenarkan beliau memegang jawatan presiden hingga 2036.

Di bawah undang-undang sebelum ini, Putin sepatutnya perlu mengundurkan diri dari Kremlin selepas pilihan raya akan datang.

Ketika ini, Presiden Rusia berusia 68 tahun itu sedang menyelesaikan penggal perkhidmatan kedua sebagai presiden dan merupakan penggal keempat beliau menduduki jawatan tersebut.

Dalam pindaan perlembagaan yang diluluskan tahun lalu, angka penggal Putin dijangka akan dirombak bagi membolehkan beliau mengetuai negara sehingga 2036. Jika Putin masih memerintah, umurnya ketika itu adalah 84 tahun.

Undang-undang ketika ini membenarkan beliau untuk bertanding pilihan raya bagi dua lagi penggal sebaik sahaja pentadbirannya ketika ini tamat.

Perubahan dalam peruntukan undang-undang itu disokong dalam undiam awam pada musim panas lalu dengan 80% bersetuju perubahan peruntukan itu dipinda.

Perubahan yang dijalankan mengundang kritikan sehingga ia disifatkan sebagai kudeta terhadap perlembagaan termasuk pindaan-pindaan lain yang dijangka akan mengaut sokongan politik seperti meningkatkan perlindungan wang persaraan.

Peruntukan undang-undang itu diluluskan di Parlimen bulan lalu.

Dan tandatangan Putin, merasmikan ia sebagai sebahagian undang-undang persekutuan Rusia.

Di samping merombak semula penggal pentadbiran Putin, dokumen undang-undang yang baru diluluskan itu juga turut menyenaraikan syarat-syarat tambahan bagi presiden.

Antaranya, seseorang calon tidak boleh memiliki kewarganegaraan atau permit penduduk dari negara lain dan mesti bermukim di Rusia sekurang-kurangnya dalam tempoh 25 tahun.

Bagaimanapun, semua presiden selepas Putin akan dihadkan mentadbir selama dua penggal.

Parti-parti pembangkang di Rusia dilaporkan mengecam keras perubahan undang-undang yang dilakukan Putin.

Undian awam yang dilaksanakan Putin diperlekeh seorang pemimpin komunis, Gennady Zyuganov.

Pemimpin pembangkang itu menyifatkan proses pindaan Perlembagaan tersebut sebagai “undang-undang yang tidak dapat difahami”.