- Iklan -
Berita

Menteri Umno akan tinggalkan Kabinet jika diarahkan MKT

Menteri kanan Ismail Sabri Yaakob turut akur sekiranya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk meninggalkan Kabinet selepas darurat tamat.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan-perwakilan berdiri menyanyikan lagu patriotik pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Perwakilan-perwakilan berdiri menyanyikan lagu patriotik pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pemimpin-pemimpin Umno yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) akan mengikut keputusan parti untuk meletakkan jawatan beramai-ramai pada Ogos.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob akur sekiranya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk meninggalkan Kabinet selepas darurat tamat.

“Sebagai ahli parti sebagai pemimpin parti sudah pasti ia keputusan parti tidak kiralah MKT ke atau PAU, ia adalah yang berkuasa dalam parti untuk menentukan keputusan, jadi sudah tentu kita mesti akur kepada keputusan parti,” katanya selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2020 oleh Ahmad Zahid Hamidi di PWTC hari ini.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata usul itu dikemukakan salah seorang pembahas dan ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut diputuskan oleh MKT selepas ini.

“Kita serahkan kepada presiden dan MKT menetapkan timeline. Kita tunggu. Ada cadangan untuk tarik pada Ogos tapi dalam penggulungan presiden tadi setuju MKTdan presiden yang akan menetapkan. Jadi kita tunggulah bulan 8 ke atau bila ke kita pun tak tau.”

Dalam ucapan penggulungan yang ringkas bagi menutup tirai Perhimpunan Agung Umno, Zahid mengumumkan usul untuk memutuskan hubungan dengan PN diluluskan sebulat suara oleh perwakilan.

Beliau menamatkan ucapan 10 minit tersebut dengan memohon seluruh perwakilan untuk bangun di dalam dewan jika mereka bersetuju dengan usul tersebut.

Beliau berkata kepimpinan Umno kini memiliki mandat untuk tarik diri daripada PN pada bila-bila masa.

Sementara itu, Pengerusi Prasarana Tajuddin Rahman pula berkata sebagai ahli parti yang setia, apa sahaja keputusan akan dipatuhi.

“Kalau tak silap Kelantan yang mengemukakan usul itu by Ogos. Jadi dalam tempoh itulah. Kita dah buat kerja awal lagi. Saya sebagai pengarah pilihan raya dah round dah semua.

“Mestilah saya sedia lepaskan jawatan, tidak ada masalah bukan besar sangat jawatan itu. Perjuangan Umno perjuangan parti melebihi segala-galanya. Ia bukan boleh dijual beli. Faham-fahamlah jika ada yang menentang sama ada dia keluar sendiri daripada parti atau dia dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin menyifatkan pendirian Sabah untuk terus kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sesuatu yang berbeza dengan senario politik Semenanjung.

“Untuk konteks Sabah kerana kita melihat kepada kepentingan rakyat negeri Sabah. Jadi apa pun keputusan yang dilaksanakan tidak akan membuatkan negeri Sabah dipinggirkan. Kita mengutamakan kepentingan rakyat dan ekonomi Sabah,” katanya.