Saturday, July 24, 2021

Di sebalik tabir perkahwinan kanak-kanak

Aktivis sambut baik perubahan yang berlaku dalam isu perkahwinan bawah umur, namun masih banyak perlu dilaksanakan demi mengubah adat yang sudah lama diwarisi.

Other News

Para aktivis yang giat menyedarkan orang ramai mengenai isu perkahwinan kanak-kanak berkata masih banyak yang perlu diusahakan di lapangan supaya adat kebiasaan dalam masyarakat dapat diubah selepas sekian lama menganggap ia sebagai sebuah amalan turun-temurun.

Mereka turut berkata perjuangan mengenai perkara ini masih belum selesai, walaupun perubahan kecil-kecilan dilihat berlaku dalam kalangan masyarakat.

Anne Lasimbang adalah pengasas Pacos Trust, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu penduduk asal di Sabah.

Beliau memberitahu MalaysiaNow dalam masyarakat peribumi di Sabah, perkahwinan antara dua kanak-kanak kadang-kadang diatur sebelum mereka dilahirkan.

Dalam kes sedemikian, keluarga sepakat untuk menjodohkan anak-anak mereka untuk menjaga hubungan baik sesama mereka.

Adat biasa yang lazim berlaku di Sabah adalah berkenaan kanak-kanak perempuan yang hamil di luar nikah.

Demi mengelak rasa malu atau kecaman masyarakat kerana melahirkan anak tanpa bapa, mereka yang masih di bawah umur dipaksa berkahwin dengan lelaki yang menyebabkan kehamilan mereka.

“Sesetengah kanak-kanak perempuan diambil kesempatan oleh lelaki dewasa yang menyebabkan mereka hamil,” kata Lasimbang.

Apabila hal ini berlaku, mangsa sering dipaksa untuk berkahwin walaupun masih di bawah umur.

Namun kini, penduduk asal lebih terbuka bagi berbincang soal perkahwinan di bawah umur, kata Lasimbang.

Lasimbang berkata kesedaran mereka semakin meningkat kesan daripada laporan media yang menjelaskan kesan negatif perkahwinan kanak-kanak.

Bagaimanapun, kerja-kerja menyedarkan orang ramai masih perlu dilakukan dan bahkan dalam beberapa kes, penyelesaian mengenainya sangat sukar.

Contohnya, wujud keluarga yang mengahwinkan anak-anak mereka sebagai jalan keluar daripada kemiskinan, hal ini adalah tajuk yang berulang dalam masyarakat peribumi Sabah.

“Masih banyak kerja perlu dibuat untuk tingkatkan ekonomi masyarakat peribumi,” kata Lasimbang merujuk program-program pendidikan dan kesedaran mengenai isu itu.

Selain itu, isu lain tentang perkahwinan bawah umur ialah penyelarasan had umur perkahwinan.

Di bawah undang-undang adat peribumi bukan Islam, tidak ada batasan umur untuk seseorang itu berkahwin.

Lasimbang berkata organisasinya masih berusaha untuk mengubah adat itu bagi menjadikan usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Bagi mencapai sasaran tersebut, mereka turut mendekati golongan ibu bapa mengenai usia perkahwinan yang sah dan kepentingan pendidikan bagi kanak-kanak di sekolah.

“Jika anak perempuan mereka hamil, mereka sepatutnya tak perlu risau tentang nama keluarga si anak.

“Mereka boleh daftar bayi itu dilahirkan oleh ibu tunggal atau serahkan anak mereka kepada ibu bapa yang mahukan anak angkat sebagai satu cara lain. Mereka tidak perlu dikahwinkan.”

Thammy Chong, pesuruhjaya antarabangsa di Girl Guides Association Malaysia, turut bersetuju sudah ada sedikit kemajuan selepas bertahun-tahun berusaha untuk mengubah adat kebiasaan masyarakat berhubung perkahwinan kanak-kanak.

Namun, katanya, adat-adat kebiasaan itu masih dipertahankan kerana kurang kefahaman dan kemudian diparahkan lagi dengan perundangan yang lemah dan kepercayaan karut.

“Ramai orang masih percaya perkahwinan kanak-kanak hanya terjadi dalam kaum atau komuniti tertentu, dan ia terjadi ketika seorang gadis di bawah umur dinikahkan dengan lelaki yang jauh lebih tua.”

Namun hakikatnya, perkahwinan kanak-kanak biasanya berlaku antara dua mempelai bawah umur, kadang-kadang kerana cinta atau hamil di luar nikah.

“Saya tak fikir remaja tahu di mana dia nak minta tolong jika terpaksa berkahwin pada usia muda,” katanya.

“Kalaupun mereka ke balai polis, pegawai mungkin beritahu mereka ia adalah urusan keluarga dan minta mereka pulang.”

Menurut Chong lagi, sekolah dan kumpulan pendidikan tidak formal mempunyai peranan penting dalam mendidik dan mengubah pemikiran masyarakat.

“Organisasi pembimbing seperti Pandu Puteri dan Pengakap mendorong pendidikan rakan sebaya di mana kanak-kanak belajar untuk mendengar dan menjaga satu sama lain. Itu adalah salah satu kaedah terbaik untuk sokong mereka,” katanya kepada MalaysiaNow

Chong turut menggesa NGO yang lain serta kumpulan masyarakat sivil di Malaysia bersatu dan bekerjasama bagi menoktahkan perkahwinan bawah umur di Malaysia.

Chong berkata banyak pihak yang bekerja untuk tujuan itu secara bersendirian.

“Kita perlu bincang lebih banyak dengan pihak berkuasa supaya mereka membuat tindakan susulan mengenai proses perubahan undang-undang, dan menuntut kerajaan melakukan perubahan berdasarkan suara dan fakta dari akar umbi masyarakat.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles