Tuesday, April 20, 2021

Dasar perhutanan negara tidak hadkan hak negeri, kata menteri

Pengurusan hutan di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan telah dinyatakan dalam Perlembagaan.

Other News

Dasar Perhutanan Malaysia tidak mengehadkan hak negeri untuk mengambil tindakan yang berhubungan dengan pengurusan hutan selaras dengan objektif dan peruntukan dasar tersebut.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan dasar itu saling melengkapi dan tidak mengurangkan peruntukan dalam mana-mana dasar lain berkaitan dengan pengurusan hutan yang masih berkuat kuasa.

“Pengurusan hutan di negara ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri.

“Setiap negeri mempunyai kuasa untuk menguruskan perhutanan di negeri masing-masing,” katanya selepas menjadi tetamu Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Komited Kekal Hijau’ malam tadi.

Justeru, katanya penetapan strategi dan pelan tindakan di bawah dasar berkenaan merupakan hak mutlak negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beliau menegaskan Dasar Perhutanan Malaysia tidak sesekali mengambil alih kuasa kerajaan negeri dan ia harus dibaca bersama dengan mana-mana dasar bertulis lain yang berhubungan dengan pengurusan hutan bagi ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Dasar Perhutanan Malaysia yang telah dipersetujui semua kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 dan telah melalui proses rundingan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak 2016 itu dilancarkan pada 21 Mac lalu.

Ditanya mengenai penguatkuasaan dan pemantauan hutan, beliau berkata pihaknya turut berkolaborasi dengan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pemantauan kawasan berisiko tinggi hotspot bagi kes-kes pencerobohan hutan.

Katanya, selain pengenalan dasar berkenaan, kementerian tenaga dan sumber asli juga menekankan pengukuhan penggunaan teknologi dalam pengurusan hutan di Malaysia melalui pendigitalan sumber dan operasi hutan.

“Ini termasuk pengembangan aplikasi berteknologi tinggi, pembangunan data dan teknologi geospatial dalam mencegah pencerobohan hutan, (perkara ini) selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Mengulas mengenai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, Shamsul Anuar berkata lebih empat juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada Januari lepas.

Beliau berkata ia melibatkan 8,770 hektar kawasan dan 455 spesies pokok seperti yang direkodkan melalui aplikasi mudah alih ‘Penghijauan Malaysia’.

“Jumlah ini dijangka akan meningkat dengan komitmen kementerian dan kerajaan negeri. Saya yakin kita akan mencapai sasaran sebelum tempohnya,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memuat naik aplikasi ‘Penghijauan Malaysia’ dan melayari laman web www.100jutapokok.gov.my bagi mendaftar dan melihat perkembangan terkini mengenai kempen tersebut.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles