Friday, July 23, 2021

Ketua pegawai media BN digantung, tetapi apakah jawatan itu wujud?

Jawatan itu diwujudkan bagi melindungi presiden Umno yang menerima kritikan parti komponen BN.

Other News

Barisan Nasional (BN) terpaksa mengendalikan situasi atau melakukan “damage control” selepas pendedahan memalukan semalam bahawa kenyataan pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi mirip kepada yang dikeluarkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Semalam gabungan itu mengumumkan kenyataan yang ditandatangani Zahid itu dikeluarkan tanpa melalui dewan tertinggi BN dan menambah ketua pegawai medianya digantung sehingga siasatan dalaman selesai.

Setiausaha Eksekutif BN Mohd Sahfri Ab Aziz berkata, kenyataan itu tidak mendapat kelulusan sekretariat dewan tertinggi gabungan itu.

Akan tetapi semakan MalaysiaNow mendapati jawatan itu sebenarnya tidak wujud.

“Ia hanyalah ‘cover up’ BN selepas Zahid keluarkan kenyataan mirip Anwar,” kata sumber Umno kepada MalaysiaNow.

Sebelum itu, apabila ditanya siapakah nama individu yang digantung, pegawai BN berkata identiti individu tersebut dirahsiakan.

Semakan MalaysiaNow bagaimanapun mendapati, jawatan yang wujud sebenarnya ialah setiausaha bahagian media.

“Ia adalah langkah ‘damage control’ selepas media sosial mengutuk kenyataan ‘copy paste’ itu,” tambah sumber itu.

Kenyataan dikeluarkan Zahid yang mendesak ahli Parlimen BN menuntut sidang Dewan Rakyat dijalankan ketika darurat Covid-19, menimbulkan kemarahan MCA dan MIC, parti komponen dalam gabungan itu selain Umno.

Pemimpin dua parti itu semalam menjarakkan diri daripada kenyataan Zahid, mengatakan isi kandungannya bukanlah seperti yang dibincangkan semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Khamis malam.

Kenyataan dikeluarkan hampir serentak dengan kenyataan PH yang ditandatangani Anwar yang disebarkan secara dalam talian.

Kenyataan itu didapati bukan sahaja ditulis dalam bahasa yang sama, bahkan mirip dari sudut gaya, selain berkembar dalam perkataan yang digunakan.

Ia semakin membuktikan kerjasama Zahid dan Anwar dalam usaha mereka menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada Oktober MalaysiaNow mendedahkan butiran surat dihantar Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak kepada Agong untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles