- Iklan -
Berita

Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung undang-undang syariah Selangor tidak hina Islam

Ia menjelaskan kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah terletak kepada Parlimen dan bukan kepada Dewan Undangan Negeri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pembelaan Koong telah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi namun bukti terhadapnya amat kukuh dan meyakinkan. Gambar: AFP
Pembelaan Koong telah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi namun bukti terhadapnya amat kukuh dan meyakinkan. Gambar: AFP

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengenepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah bukanlah satu penghinaan terhadap agama Islam, kata badan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS).

SIS berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu hanya menjelaskan proses penggubalan undang-undang, khususnya undang-undang jenayah syariah yang dilihat bertentangan dengan semangat federalisme yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai undang-undang utama dan tertinggi di Malaysia.

“Keputusan ini tidak sekali-kali dilihat sebagai menghina agama Islam atau merendahkan umat Islam ataupun kedudukan institusi agama ataupun Majlis Raja-raja,” kata SIS dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

SIS berkata, isu penganiayaan oleh penguatkuasa agama di bawah undang-undang jenayah syariah menyebabkan diskriminasi, penghinaan, keganasan dan ketidakadilan seperti serbuan di premis-premis peribadi.

“Ini dapat dilihat di dalam kes dua orang wanita yang dijatuhi hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan lebih dari 150 orang di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada tahun 2018 atas kesalahan percubaan melakukan hubungan songsang,” kata kenyataan itu.

SIS berkata, mereka menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 sebagai tidak berperlembagaan dan menetapkan bahawa kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah terletak kepada Parlimen dan bukan kepada Dewan Undangan Negeri.

“Undang-undang Islam yang digubal oleh mana-mana kerajaan di mana-mana negara termasuk Malaysia bukanlah berunsur ‘divine’ atau ilahi.

“Undang-undang Islam yang ada di negeri-negeri di Malaysia adalah dari usaha pemahaman dan tafsiran manusia tentang Al-Qur’an yang kemudian dijadikan sebagai undang-undang yang digubal melalui proses penggubalan di dalam Dewan Undangan Negeri.”