- Iklan -
Berita

Proksi Jho Low dilantik sebagai penandatangan sah dalam syarikat subsidiari 1MDB

Saksi ke-10 pendakwaan itu mengesahkan bekas pengarah eksekutif 1MDB dan rakan sekutu Jho Low, Terence Geh juga dilantik sebagai penandatangan sah dalam 1MDB GIL.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa proksi ahli perniagaan yang sedang dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dilantik sebagai salah seorang daripada penandatangan sah dalam 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDB GIL) walaupun dia tidak memegang apa-apa jawatan dalam syaikat subsidiari 1MDB itu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, berkata selain dirinya, seorang lagi pegawai 1MDB, Azmi Tahir, juga dilantik sebagai penandatangan sah dalam 1MDB GIL, namun kedua-dua mereka memegang jawatan sebagai pengarah dalam syarikat itu.

Saksi ke-10 pendakwaan itu mengesahkan bahawa bekas pengarah eksekutif 1MDB dan rakan sekutu Jho Low, Terence Geh juga dilantik sebagai penandatangan sah dalam 1MDB GIL.

Beliau berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Aizuddin: Boleh anda ingatkan kami sekali lagi, apa tujuan Goh dilantik sebagai penandatangan sah walaupun dia bukannya pengarah syarikat?

Hazem: Saya tidak tahu sebabnya.

Aizuddin: Anda bersetuju, sebagai anggota dalam pengurusan, seorang penandatangan sah akan diberikan dominasi terhadap harta syarikat (1MDB GIL)?

Hazem: Ya.

Aizuddin: Tidakkah lembaga pengarah (BOD) seharusnya diberi taklimat terlebih dahulu berhubung pelantikan (penandatangan sah)?

Hazem: Saya tidak pasti sekiranya BOD perlu meluluskan terlebih dahulu dalam 1MDB GIL.

Hazem juga bersetuju dengan saranan peguam itu bahawa dalam amalan pengurusan biasa, adalah lebih sesuai sekiranya BOD diberi taklimat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan kewangan utama dibuat.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut 1MDB GIL, sebuah syaikat yang dibangunkan di British Virgin Islands pada 8 Mac 2013 merupakan syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bagi mengeluarkan bond US$3 bilion untuk usaha sama antara 1MDB dan Abu Dhabi-Malaysia Investment Company (ADMIC).

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan panggubahan wang haram melibatkan junmlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.