- Iklan -
Berita

Penerbitan ‘palsu’ hasil kerja ahli akademik Malaysia antara tertinggi ditemui dalam pangkalan data global

Pendedahan ini menimbulkan persoalan bukan sahaja tentang kualiti penyelidikan tetapi kredibiliti ranking universiti Malaysia di peringkat global.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kajian Macháček dan Srholec mendapati Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 20 negara paling aktif meneribitkan jurnal pemangsa ini. Gambar: AFP
Kajian Macháček dan Srholec mendapati Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 20 negara paling aktif meneribitkan jurnal pemangsa ini. Gambar: AFP

Data akademik dari Malaysia membentuk jumlah besar antara lebih 300 karya dalam “jurnal palsu” yang terdapat dalam pangkalan data global yang digunakan untuk mengukur kedudukan tahunan institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.

Jurnal palsu yang juga dikenali sebagai “jurnal pemangsa” (predatory journals), adalah penerbitan dengan kualiti penyelidikan rendah dan isi yang boleh dipersoalkan, dan seringkali terlalu mudah menerima artikel tanpa meneliti dan dalam kebanyakan kes, hanya mementingkan bayaran yuran.

Sejumlah 324 jurnal diterbitkan di seluruh dunia didapati menyusup masuk dalam Scopus, pangkalan data global berpusat di Belanda yang menghimpunkan lebih 30,000 jurnal merangkumi sains manusia, sains sosial, sains fizikal dan sains kesihatan.

Pendedahan ini, selain memperbaharui perdebatan berhubung kualiti hasil penyelidikan daripada univesiti di Malaysia, turut menyebabkan ranking tahunan universiti Malaysia di peringkat global dipersoalkan.

Sekurang-kurangnya dua organisasi terkemuka seperti Times Higher Education dan QS, bergantung dengan data daripada Scopus sebelum mengeluarkan ranking tahunan universiti seluruh dunia.

Lebih banyak hasil kerja ahli akademik dipetik oleh Scopus, universiti berpeluang lebih cerah untuk menaikkan kedudukan mereka dalam ranking global.

Pendedahan terbaru ini berdasarkan hasil kerja dua ahli ekonomi dari Czech Republic, Vít Macháček dan Martin Srholec yang menghasilkan analisis berdasarkan negara tentang jurnal dipersoalkan ditemui di Scopus antara 2015 hingga 2017.

Meskipun kebanyakan pengarang ini berasal dari negara-negara berpopulasi besar seperti India, Indonesia, Filipina dan Mesir, Malaysia disenaraikan dalam kalangan negara asal tertinggi yang mungkin mencerminkan kualiti kerja akademik tempatan yang teruk.

Antara kriteria Scopus untuk jurnal akademik diindekskan dalam pangkalan data mereka ialah kualiti anggota sidang pengarang termasuk penerbitan secara konsisten.

Pada 2014, dikatakan lebih banyak artikel akademik Malaysia diindekskan oleh Scopus – hampir 47,000 – berbanding dari Thailand dan Singapura.

Bagaimanapun, kajian Macháček dan Srholec mendapati Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 20 negara paling aktif meneribitkan jurnal pemangsa ini.

Paling tinggi ialah Kazakhstan dengan 17% artikel seperti itu, diikuti dengan Indonesia (16.7%), Iraq (13%), Albania (12%) dan Malaysia (11.6%).

Malaysia juga termasuk dalam senarai 20 teratas jurnal palsu dalam tiga bidang: sains kesihatan, sains fizikal dan sains sosial, mendapat tempat kedua dalam sains fizikal dan sains sosial.

“Di negara-negara ini, amalan penerbitan jurnal pemangsa secara nyata menjadi masalah sistemik di peringkat nasional, tidak terhad kepada kluster tertentu,” kata Macháček dan Srholec dalam penemuan mereka.

Penemuan ini sudah pasti akan menghidupkan kembali perdebatan tentang isu penipuan akademik di universiti-universiti di Malaysia.

MalaysiaNow difahamkan, kali ini sesetengah pihak dalam kalangan komuniti ahli akademik terganggu dengan kemungkinan kebanyakan penyelidikan dipersoalkan yang diterbitkan dalam jurnal pemangsa ini dibiayai menggunakan dana awam melalui geran daripada kerajaan.

Kerajaan mengiktiraf lima universiti sebagai universiti penyelidikan seperti: Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Peruntukan berjuta ringgit diberikan kerajaan kepada universiti-universiti ini dalam bentuk geran penyelidikan dan pembangunan.

Sementara itu, pendedahan terbaru ini mungkin memberikan tambahan hujah kepada pengkritik bahawa Scopus dan ranking universiti global tidak seharusnya menjadi pengukur bagi menilai hasil penyelidikan.

“Disebabkan terlalu obses mengejar ranking global lebih tinggi, kebanyakan universiti di Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menjadikan Scopus sebagai kayu pengukur,” kata seorang ahli akademik kanan universiti awam terkemuka kepada MalaysiaNow.

[Ralat: Terdapat kesilapan pada versi awal laporan yang diterbitkan. Kami membuat pindaan kecil bagi menjelaskan rujukan mengenai hasil kerja rakyat Malaysia yang diterbitkan di dalam jurnal pemangsa, dan bukan jurnal Malaysia.]