- Iklan -
Berita

17 lagi kematian baru direkodkan, 3,505 pesakit pulih

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 51,579.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dua orang pejalan kaki melalui kawasan lukisan mural yang terdapat pada dinding bangunan kedai di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.
Dua orang pejalan kaki melalui kawasan lukisan mural yang terdapat pada dinding bangunan kedai di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.

Sebanyak 3,318 kes baru Covid-19 dikesan hari ini, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 258,306, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 3,505 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 205,774 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,214 kes diikuti Johor (742), Kuala Lumpur (374), Kedah (188) dan Pulau Pinang (149),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 51,579.

“Daripada jumlah itu 258 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 119 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 17 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 953 orang.