Tuesday, October 19, 2021

Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat

Persoalan timbul berhubung keberkesanan aplikasi pengesanan kontak SElangkah termasuk penubuhan pasukan khas diketuai bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Other News

Persoalan timbul berhubung keberkesanan aplikasi pengesanan kontak digunakan di Selangor disebabkan negeri itu terus merekodkan kes jangkitan harian tinggi walaupun menubuhkan pasukan khas untuk melawan pandemik di bawah pimpinan bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

MalaysiaNow difahamkan walaupun SELangkah diperkenalkan pada Mei 2020, dua minggu selepas Putrajaya melancarkan aplikasi pengesanan kontak MySejahtera untuk seluruh negara – ia kini berdepan dengan masalah untuk mendapatkan data tepat dan butiran lain berkenaan dengan jangkitan Covid-19 di negeri itu.

Selangor yang mempunyai populasi lebih enam juta dengan keluasan 8,000 kilometer persegi.

Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur yang hanya seluas 3% daripada Selangor mempunyai dua juta penduduk dan kebanyakan kawasan populasi terpadat dalam negara.

Walaupun begitu, Selangor terus merekodkan angka tertinggi kes baru Covid-19 berbanding negeri-negeri lain ketika negara berperang dengan peningkatan jangkitan harian.

Semalam Selangor terus mencatatkan kes tertinggi dengan 1,145 kes berbanding Kuala Lumpur dengan 619 kes.

Sejak pandemik melanda Malaysia, Selangor mencatatkan 70,000 kes dengan 168 kematian sementara Kuala Lumpur mencatatkan 27,000 kes dengan 45 kematian.

Pada 29 Januari, ketika kes Covid-19 tertinggi dengan 5,725 kes, lebih separuh iaitu 3,126 jangkitan datang dari Selangor.

Dzulkefly berkata peningkatan kes di negeri itu disebabkan tunggakan saringan melibatkan pekerja kilang, tahanan penjara termasuk yang dilakukan di pusat kesihatan swasta yang tidak dilaporkan lebih awal.

Walaupun begitu, peningkatan jangkitan menimbulkan persoalan terhadap aplikasi SELangkah, yang mana 60% daripada syarikatnya dimiliki oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan negeri Selangor.

Semakan di laman sesawang Selangkah Ventures mendapati hanya terdapat maklumat satu muka surat tanpa perincian portfolio dan struktur organisasi.

Semakan juga mendedahkan, baki 40% saham syarikat dimiliki oleh Aime Healthcare Sdn Bhd, yang mana ketua pegawai eksekutifnya, Dr Helmi Zakariah, yang membangunkan aplikasi itu.

Pada 29 Januari, ketika kes Covid-19 tertinggi dengan 5,725 kes, lebih separuh iaitu 3,126 jangkitan datang dari Selangor.

Beberapa hantaran di media sosial turut mempersoalkan hubungan politik melibatkan mereka yang ditugas oleh kerajaan negeri untuk memantau usaha memerangi pandemik Covid-19.

Mereka juga turut dikaitkan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dekat dengan parti Amanah, tetapi MalaysiaNow belum dapat mengesahkan dakwaan itu.

Dua bulan selepas dilancarkan, Amanah bahagian Putrajaya memuji SELangkah sebagai satu pencapaiaan membanggakan, dan menyeru kumpulan perniagaan Bumiputera untuk memboikot aplikasi MySejahtera milik kerajaan persekutuan, atas alasan ia dibangunkan bersama dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dzulkefly sejak kebelakangan ini terus menerus mengkritik kementerian kesihatan, dengan menuduhnya enggan berkongsi data kritikal jangkitan virus Covid-19.

Dakwaan-dakwaan itu bukan perkara baru, dan sejak Oktober tahun lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa permintaan Selangor bagi mendapatkan “data mentah” tidak dapat dipenuhi untuk memastikan penstandardan dalam interpretasi data.

Noor Hisham menjelaskan interpretasi data negeri berkemungkinan akan berlainan kerana sistem yang digunakan berbeza.

Beliau turut mempersoal mengenai data privasi SELangkah, walaupun beberapa pegawai kerajaan Selangor memberi jaminaan data tersebut dienkripsi.

Katanya penggunaan SELangkah akan mengganggu koordinasi dalam melakukan pengesanaan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Dzulkefly yang bukan doktor perubatan berkelulusan ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang toksikologi, berulang kali menolak permintaan MalaysiaNow bagi menjawab soalan dan dakwaan mengenai lonjakan kes Covid-19 di Selangor.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles