- Iklan -
Berita

3,631 kes baru Covid-19, 14 lagi kematian dilaporkan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 39,464.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan.
Pemandangan Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan.

Sebanyak 3,631 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tujuh jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 165,371, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 2,944 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 125,288 kes.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,199 kes diikuti Sabah 526 dan Kuala Lumpur 521 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 39,464.

“Daripada jumlah itu 238 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 96 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 619 orang.

Tambahnya terdapat sembilan lagi kluster baru dikesan:

  1. Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok di Negeri Sembilan (217 kes).
  2. Kluster Jalan Masjid di Lembah Pantai dan Kepong, Kuala Lumpur (16 kes).
  3. Kluster Jalan Taruka di Johor Bahru, Johor (38 kes).
  4. Kluster Taman Sayong Pinang di Kota Tinggi, Johor (18 kes).
  5. Kluster Sri Gading di Batu Pahat, Johor (7 kes).
  6. Kluster Rakut di Miri, Sarawak (10 kes).
  7. Kluster Kupang di Baling, Kedah (14 kes).
  8. Kluster Kebok Air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, dan Dungun, Terengganu (18 kes).
  9. Kluster Rantau Cempaka di Maran, Pahang (14 kes).