- Iklan -
Berita

Pendaftaran vaksin Covid-19 untuk rakyat akan dibuka tak lama lagi

Kerajaan mensasarkan memberi vaksin kepada 70% populasi atau 23 juta orang bagi membentuk imuniti berkelompok.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Malaysia sudah membeli 25 juta dos vaksin Pfizer. Gambar: AFP
Malaysia sudah membeli 25 juta dos vaksin Pfizer. Gambar: AFP

Pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 akan dibuka tidak lama lagi, menjelang ketibaan kumpulan pertama vaksin di Malaysia bulan depan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kerajaan mensasarkan memberi vaksin kepada 70% populasi atau 23 juta orang bagi membentuk imuniti berkelompok.

Malaysia sudah membeli 25 juta dos vaksin Pfizer yang pada ketika ini merupakan satu-satunya vaksin mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Separuh daripada vaksin itu akan tiba pada penghujung Februari dan kerajaan mensasarkan untuk memvaksinkan 40% rakyat dengan Pfizer.

Putrajaya turut menandatangani perjanjian dengan syarikat farmasi lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19 termasuk daripada AstraZeneca, Sinovac termasuk dari Covax Facility.

Dalam wawancara bersama RTM semalam Adham berkata, petugas kesihatan barisan hadapan akan menjadi yang pertama menerima vaksin, diikuti dengan kumpulan berisiko tinggi dengan penyakit kronik dan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Sementara fasa ketiga akan meliputi orang awam berumur 18 tahun ke atas.

Adham berkata matlamat imunisasi Covid-19 ialah melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.

Katanya, dalam satu tinjauan dalam talian yang dilakukan kementeriannya, 67% daripada 212,000 responden bersetuju untuk divaksinkan untuk mengekang Covid-19 dan yakin dengan keberkesanannya.

Sementara 17% tidak pasti dan 16% tidak setuju untuk mengambil vaksin.

“Setakat 13 Januari, kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia disuntik vaksin Covid-19. Ini menunjukkan vaksin ini diterima masyarakat dunia.

“Namun, vaksin bukanlah penyelesaian. Selepas disuntik, kita masih perlu mempratikkan norma baru,” katanya.