- Iklan -
Berita

2,985 kes Covid-19, 11 lagi kluster baru dikesan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 32,377.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja Tatcchna Barathy, 21, duduk menunggu pelanggan di kios perniagaan runcit Jalan Tuanku Abdul Rahman. Jalan-jalan sekitar ibu negara kelihatan lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Seorang pekerja Tatcchna Barathy, 21, duduk menunggu pelanggan di kios perniagaan runcit Jalan Tuanku Abdul Rahman. Jalan-jalan sekitar ibu negara kelihatan lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Sebanyak 2,985 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 144,518, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 994 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 111,578 kes atau 77.2%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 837 kes, diikuti Johor 535 dan Sabah 450 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 32,377.

“Daripada jumlah itu 197 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 79 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat empat lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 563 orang.

Katanya terdapat 11 lagi kluster baru dikesan.

“Tiga kluster dilaporkan di Johor melibatkan Kluster Jalan Rami (112 kes), Kluster Kota (57 kes) dan Kluster Tanjung Megah (12 kes),” katanya

Tambahnya, dua kluster masing-masing dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur membabitkan Kluster Taman Integrasi (119 kes), Kluster Jalan Ijuk (99 kes) dan Kluster Jalan Kasturi (16 kes), Kluster Jalan Thamby (23 kes).

“Baki empat lagi kluster adalah Kluster Taman Batik di Kedah (9 kes), Kluster Bukit Bakar di Kelantan (18 kes), Kluster Kampung Tengah di Negeri Sembilan (20 kes) dan Kluster Dialisis Malim di Melaka (13 kes),” katanya.