- Iklan -
Berita

PM beri jaminan kerajaan berfungsi seperti biasa, tiada campur tangan mahkamah

Pelaksanaan undang-undang lebih tegas akan dikuatkuasakan melibatkan agensi-agensi berkaitan termasuk Angkatan Tentera Malaysia bagi membantu usaha memerangi Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru penyatuan nasional dan pada masa yang sama memastikan proklamasi darurat yang diisytiharkan bukan satu rampasan kuasa atau perintah berkurung bagi melarang sebarang aktiviti harian dijalankan.

“Saya memberi jaminan kehidupan rakyat akan terus berjalan seperti biasa,” katanya, dan menambah tidak akan berlaku gangguan kepada kegiatan ekonomi mahupun badan kehakiman.

“Badan kehakiman akan terus akan terus berfungsi dan saya tidak akan mencampuri sebarang urusan melibatkan sistem keadilan negara,” kata Muhyiddin.

Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang mengancam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Beliau berkata Parlimen juga tidak akan bersidang sepanjang tempoh darurat dilaksanakan, dan Pilihan Raya Umum (PRU) atau Kecil akan diadakan.

“Kita sedar orang ramai tidak mahu pilihan raya di adakan kerana bimbang berlaku lonjakan jangkitan Covid-19, sama seperti yang dilihat pada pilihan raya di Sabah baru-baru ini,” katanya.

Muhyiddin mengatakan beliau tidak menentang pilihan raya, tetapi ketakutan terhadap pandemik Covid-19 yang menghalangnya daripada menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen.

Katanya PRU akan diadakan sebaik sahaja jawatankuasa khas yang ditubuhkan memberi lampu hijau bahawa keadaan Covid-19 reda dan selamat.

“Ini aku janji saya yang saya akan tunaikan, Insya-Allah,” kata Muhyiddin.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berfungsi seperti biasa di bawah peraturan darurat.

Bagaimanapun, beliau mengatakan Yang di Pertuan Agong diberi kuasa untuk masyurkan beberapa ordinan di bawah undang-undang darurat sekiranya perlu, termasuk penggunaan tanah dan aset-aset awam bagi membantu usaha memerangi Covid-19.

Katanya, Agong juga boleh masyhurkan Angkatan Tentera Malaysia selain kuasa sedia ada, untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam.

Menurut Muhyiddin, undang-udang lebih tegas juga dapat dilaksanakan bagi memerangi sabotaj ekonomi dan monopoli.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini,” katanya.

Katanya pengisytiharan darurat dibuat mengikut peruntukan perlembagaan di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, pada saat negara sedang menghadapi krisis Covid-19 dan banjir.

Perkara 150(1) memperuntukkan: Jika Yang di Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.