Tuesday, May 18, 2021

Khabar angin pelantikan ‘TPM’ muncul kembali ketika sekumpulan pemimpin Umno ancam keluar kerajaan

Difahamkan khabar angin tentang menteri Umno bakal dilantik timbalan perdana menteri tidak benar.

Other News

MalaysiaNow difahamkan sekumpulan pemimpin Umno yang mendesak supaya diberikan peranan lebih penting dalam kerajaan membuat permintaan baru supaya salah seorang anggota Kabinet daripada parti Melayu itu dilantik sebagai timbalan perdana menteri (TPM), beberapa hari selepas mengancam untuk keluar daripada blok kerajaan.

Kempen terbaru ini bertebaran dalam media-media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sepanjang hujung minggu lalu.

Seorang sumber kanan di Putrajaya percaya khabar angin itu sengaja disebarkan dengan harapan meningkatkan lagi sokongan terhadap permintaan sebelum ini oleh pemimpin Umno, menjelang perhimpunan agung parti itu pada hujung bulan ini.

Sumber itu bagaimanapun menafikan laporan tersebut dengan mengatakan ia sekadar naratif sama berulang-ulang kali dimainkan sejak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi gagal untuk mendapatkan jawatan nombor dua itu untuk dirinya.

“Sama seperti sebelum ini, perdana menteri dan Kabinet amat jelas mengenai satu perkara: apa jua bentuk rombakan bukan keutamaan sekarang ini ketika kerajaan sedang berusaha untuk menang dalam peperangan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow, merujuk kepada pertempuran selama 11 bulan melawan Covid-19 yang setakat ini sudah meragut lebih daripada 550 nyawa.

Perbincangan mengenai jawatan TPM sering menjadi topik panas setiap kali ada pertukaran perdana menteri.

Khabar angin sama turut muncul beberapa hari sebelum pembentangan Belanjawan 2021, yang mendakwa Muhyiddin akan melantik TPM daripada kalangan orang Umno sebagai satu konsesi.

Sejak minggu lepas, beberapa mesej dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp dilihat MalaysiaNow mendakwa Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein atau Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob bakal dilantik ke jawatan TPM.

Sebuah akhbar harian berbahasa Cina turut melaporkan perkara yang sama, yang kemudiannya diikuti beberapa akhbar tabloid berbahasa Melayu.



Antara lain, khabar angin terbaru itu juga mendakwa Muhyiddin menerima tekanan supaya jawatan itu diberikan kepada Umno, dan pada masa sama untuk meredakan tekanan ketika beliau ke Singapura untuk mendapatkan rawatan.

Satu sumber lain mengatakan kedua-dua dakwaan itu “jauh menyimpang daripada kebenaran sama seperti Zahid dilantik TPM”.

Katanya jadual perdana menteri dipenuhi dengan beberapa agenda sejak beberapa hari lalu dengan melawat kawasan paling teruk terjejas akibat banjir, termasuk di Pahang, di mana Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkesempatan melapangkan masa untuk melihat lebih dekat situasi sebenar di negerinya.

Muhyiddin juga dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini, dipercayai ada kaitan dengan jumlah lonjakan angka Covid-19 dan korban yang semakin meningkat.

Beliau juga dijadualkan bertemu dengan anggota Kabinet hari ini bagi membincangkan langkah-langkah terbaru untuk memerangi Covid-19, walaupun beberapa orang menteri sedang dikuarantin di rumah.

Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak antara kumpulan pemimpin Umno yang mengancam untuk keluarkan parti mereka daripada kerajaan PN bagi membolehkan pilihan raya mengejut diadakan, walaupun terdapat amaran berulang kali oleh pakar kesihatan mengenai mengadakan pilihan raya di musim pandemik.

MalaysiaNow dalam laporan tahun lepas mendedahkan kedua-dua pemimpin itu secara bersama menulis sepucuk surat ke Istana Negara menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim dalam usaha menumbangkan kerajaan Muhyiddin.

Surat yang ditulis mereka itu kemudiannya disahkan oleh Annuar Musa, yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung Barisan Nasional minggu lalu kerana menentang rancangan Zahid untuk menukar sokongan kepada Anwar.

Pada Oktober tahun lepas, MalaysiaNow mendedahkan perbualan rahsia antara Zahid dan Muhyiddin dalam satu pertemuan di kediamannya di Bukit Damansara, di mana Zahid menuntut dirinya menjadi TPM.

Dalam pertemuan pada 17 Oktober, yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Muhyiddin bersemuka dengan Zahid bertanyakan surat yang ditulisnya menyokong Anwar dan menyoal mengenai niat sebenar beliau.

“Zahid menuduh perdana menteri melanggar janji,” kata orang dalam yang mengetahui mengenai pertemuan itu kepada MalaysiaNow.

“Muhyiddin kemudian berkata tidak pernah menjanjikan apa-apa. Zahid kemudian berkata, apabila Umno menyokong Bersatu untuk menubuhkan kerajaan, ia adalah untuk Dr Mahathir Mohamad menjadi PM dan bukannya Muhyiddin.

“Muhyiddin tanya lagi apa lagi yang Zahid tidak puas hati. Zahid kata dia sebagai presiden Umno tidak dilantik menjadi timbalan perdana menteri.”

Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah yang berkaitan dengan Yayasan Akalbudi, turut mengatakan beliau “malu nak bagi tahu tapi banyak perkara yang tak betul”.

Muhyiddin kemudian memberitahu Zahid beliau tidak mencampuri urusan mahkamah, dan menambah sebagai kawan dia doakan Zahid akan didapati tak bersalah oleh mahkamah.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles