- Iklan -
Berita

Di sebalik ‘gegak gempita’, Umno kekal dalam kerajaan PN

Keputusan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama tiga jam.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Umno akan mengkaji semua usul dibangkitkan 189 bahagian seluruh Malaysia.
Umno akan mengkaji semua usul dibangkitkan 189 bahagian seluruh Malaysia.

Umno tidak membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) malam ini walaupun kenyataan pemimpin tertinggi parti itu sejak akhir-akhir ini mahu meninggalkan blok kerajaan.

Keputusan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama tiga jam tanpa sidang media walaupun ramai pemberita berkumpul mengharapkan sidang media Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Umno sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Penerangan Shahril Hamdan.

Kenyataan itu berkata, Umno akan mengkaji semua usul dibangkitkan 189 bahagian seluruh Malaysia.

Antaranya, usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang dan mengukuhkan kerjasama dengan PAS.

Zahid dan sekutunya dalam Umno baru-baru ini lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan mengugut menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN.

Mereka turut mendesak PAS melakukan perkara sama akan tetapi parti Islam itu berulang kali menyatakan kekal bersama PN.

Kenyataan itu turut menyatakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersetuju untuk membenarkan setiausaha agung Umno memegang jawatan sama dalam gabungan itu.

Semalam Umno memecat Annuar Musa sebagai setiausaha agung BN menyebabkan parti komponen seperti MCA dan MIC membantah kerana tidak dibincangkan dengan mereka.

Annuar pada sidang media hari ini mengatakan pemecatannya disebabkan bantahan terhadap kerjasama Zahid dan sekutunya dalam Umno dengan Pakatan Harapan.