- Iklan -
Berita

Rakyat Malaysia lebih ‘sayangkan’ haiwan import di zoo berbanding tempatan

Orang ramai beranggapan haiwan-haiwan tempatan selamat dan terpelihara, tidak memerlukan sebarang bantuan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Orang utan salah satu haiwan tempatan yang kurang menerima sumbangan daripada orang ramai.
Orang utan salah satu haiwan tempatan yang kurang menerima sumbangan daripada orang ramai.

Satu analisis terbaru mengenai sumbangan yang diberikan melalui platform e-dagang Zoo Negara menunjukkan rakyat negara ini lebih berminat membantu haiwan-haiwan import berbanding spesies tempatan.

Rakyat Malaysia menyumbang lebih banyak dana kepada haiwan import “eksotik” seperti cheetah dan panda berbanding orang utan dan beruang matahari.

“Seolah-olah haiwan-haiwan eksotik yang kita lihat dalam filem dan dokumentari National Geographic lebih diterima oleh rakyat negara ini,” kata Andrew Sebastian, pengasas dan presiden Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (EcoMy).

Sebagai contoh, katanya Liang Liang dan Xing Xing, dua ekor panda gergasi yang diimport dari China dengan harga RM25 juta.

Walaupun menerima kritikan ketika tiba pada 2014, dua ekor panda itu berjaya menarik perhatian orang ramai setiap hari.

Keistimewaan yang diberikan kepada panda dan haiwan import yang lain dari segi penjagaan dan sokongan bukanlah satu perkara baru.

Sebastian memberitahu MalaysiaNow, “Ia nampak lebih menarik pada kanak-kanak termasuk juga golongan dewasa untuk dikaitkan dengan panda, singa berbanding spesies tempatan kerana kurangnya kesedaran dan penghargaan kepada hidupan liar tempatan.

Berasal dari iklim yang berbeza dan memerlukan makanan khas, haiwan import dialu-alukan di zoo negara ini walaupun sukar untuk dipelihara.

Adakah haiwan tempatan tidak layak menerima layanan serupa?

Keistimewaan yang diberikan kepada panda dan haiwan import yang lain dari segi penjagaan dan sokongan bukanlah satu perkara baru.

Kenapa cimpanzi, panda dan cheetah berjaya menarik perhatian orang ramai, menurut analisis itu, adakah disebabkan wang?

Aktivis alam sekitar dan Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil, mengatakan persepsi masyarakat merupakan punca utama kepada masalah ini.

“Ia kerana rakyat Malaysia berpandangan bahawa haiwan-haiwan tempatan masih banyak jumlahnya dan mudah dilihat jika kita masuk ke dalam hutan-hutan negara ini, dan ia tidak mempunyai nilai eksotik serta tidak memerlukan bantuan dan sokongan untuk diselamatkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebastian turut bersetuju. “Orang ramai percaya haiwan-haiwan eksotik luar negara lebih berbaloi untuk disayangi, yang akhirnya menerima sokongan lebih banyak.”

Ahli-ahli alamiah turut bersetuju tindakan mengurung haiwan liar tempatan di dalam zoo dan pusat-pusat rehabilitasi bukan merupakan satu dasar yang ideal.

Kata mereka, mengurung haiwan hanya boleh dilakukan sebagai pilihan terakhir apabila ia terancam dalam habitat semula jadi dan memerlukan campur tangan manusia untuk menyelamatkannya.

Beruang matahari turut menerima nasib serupa dengan orang utan yang kurang mendapat perhatian berbanding haiwan eksotik.

Shariffa tidak suka dengan zoo.

Katanya, mengekalkan perniagaan dengan mengurung haiwan dan melatihnya melakukan pelbagai aksi untuk menghiburkan manusia patut dihentikan, dan berharap Malaysia akan menjadi antara yang terawal untuk melakukannya.

“Dari zoo, orang ramai sepatutnya boleh melawat haiwan-haiwan di habitat semula jadi,” katanya.

“Pusat rehabilitasi haiwan liar juga patut dibuka kepada orang ramai dan melihat sendiri betapa penting kepada haiwan liar untuk hidup dalam habitat semula jadi dan bebas bergerak.”

Katanya, adalah penting buat kerajaan dan Zoo Negara untuk mengakui dan menonjolkan bahawa hidupan liar kita terancam.

Kemudian mereka boleh mula mendidik masyarakat mengenai pentingnya memelihara haiwan tempatan yang terancam.

Shariffa juga menggesa, “kempen kumpul dana Zoo Negara perlu dilaksanakan secara sama rata kepada semua haiwan dan bukan memberi pilihan kepada penderma untuk pilih spesies yang digemari sahaja.”

Sebastian mengatakan Zoo Negara perlu memainkan peranan besar dalam mendidik rakyat negara ini mengenai semua jenis haiwan, sama ada dari luar negara atau tempatan.

Katanya, zoo perlu memberikan perhatian khusus kepada haiwan tempatan terutamanya apabila melibatkan spesies yang boleh dilihat dalam habitat asalnya.

Dia percaya masih banyak yang perlu dilakukan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai keunikan hidupan liar, haiwan terancam di negara ini dan ia merupakan tanggungjawab semua bukan hanya kepada zoo.

Tourism Malaysia melancarkan kempen Cuti-Cuti Malaysia “Santai di Zoo” minggu ini, bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke zoo-zoo tempatan.

Ketika bersama anak-anak bersantai melihat haiwan-haiwan eksotik yang mahal dipamerkan, mungkin sebilangan kecil mereka mendapat sedikit pengetahuan yang sering dilupakan mengenai haiwan liar tempatan yang terancam.