- Iklan -
Berita

Pilihan raya mengejut ketika pandemik tidak bertanggungjawab, pengkritik selar Zahid

Alasan lebih 30 buah negara sudah mengadakan pilihan raya musim pandemik tidak dapat diterima.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
(Arah Jam) Lee Hwok Aun, Hisommudin Bakar, Thomas Fann dan Ambiga Sreenevasan.
(Arah Jam) Lee Hwok Aun, Hisommudin Bakar, Thomas Fann dan Ambiga Sreenevasan.

Tuntutan bertali arus Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk kerajaan mengadakan pilihan raya mengejut walaupun tiada tanda-tanda pandemik Covid-19 akan reda menerima kritikan hebat daripada pemerhati yang mengikuti perkembangan politik pilihan raya negara.

Mereka mengatakan gesaan itu merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dan melulu ketika kadar jangkitan Covid-19 semakin teruk, dan menambah pilihan raya tidak menjamin kemelut politik yang dialami sekarang ini dapat diselesaikan.

Mereka juga menolak alasan Zahid mengenai lebih 30 negara mengadakan pilihan raya masing-masing ketika musim pandemik.

Lee Hwok Aun, felow kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura mengatakan, mengadakan pilihan raya dalam saat ini merupakan satu tindakan yang “langsung tidak bertanggungjawab”.

Lee menjelaskan, pilihan raya yang diadakan di negara lain disebabkan mandat kerajaan sudah tamat tempoh.

“Ada beberapa negara sudah mengadakan pilihan raya kerana tamat tempoh, dan ada juga melakukan pilihan raya mengejut, tetapi ketika keadaan pandemik lebih terkawal. Malah ada yang mengadakan pilihan raya semasa pandemik memuncak, tetapi mengapa Malaysia perlu mengikutnya?” kata Lee kepada MalaysiaNow.

Ketika berucap dalam mesyuarat Umno Bahagian Bagan Datuk baru-baru ini, Zahid mempersoalkan kewajaran untuk tidak boleh melakukan pilihan raya umum semasa pandemik.

“Lebih daripada 30 negara sudah melakukannya. Kenapa Malaysia takut? Saya fikir kita bukan bimbang mengenai Covid-19, tetapi tentang perkara lain,” katanya minggu lepas.

Cakap-cakap mengenai pilihan raya mengejut semakin mendapat perhatian dalam kalangan pemimpin Umno yang mengancam untuk mengeluarkan parti itu daripada blok kerajaan, walaupun ketika gelombang pandemik Covid-19 masih memuncak, melepasi 3,000 kes jangkitan harian semalam selepas tiga bulan berlaku lonjakan.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai gangguan terhadap penjagaan kesihatan awam yang akan mengancam berpuluh-puluh ribu pesakit Covid-19 sejak awal tahun lepas, termasuk perintah kawalan pergerakan lebih ketat membabitkan negeri-negeri yang teruk terjejas.

Penganalisis pilihan raya Hisommudin Bakar berkata perbandingan Zahid dengan negara lain adalah tidak tepat.

Katanya kebanyakan negara yang mengadakan pilihan raya dalam tempoh setahun yang lalu menyaksikan lonjakan jangkitan Covid-19.

“Menjadikan negara lain sebagai contoh, atau mengenai vaksin sudah ada, bukan merupakan alasan yang kukuh dengan melihat keadaan semasa dalam negara ini,” katanya.

Sejak permulaan krisis Covid-19, lebih dari 60 negara menangguhkan pilihan raya masing-masing.

Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Mongolia, Sri Lanka, Singapura dan New Zealand antara negara yang mengadakan pilihan raya pandemik disebabkan penggal tamat.

Sehari selepas pilihan raya presiden AS tamat, lebih 91,000 kes baru Covid-19 dilaporkan.

Ambiga Sreenevasan, yang pernah mengetuai Bersih 2.0 yang memperjuangkan reformasi pilihan raya, langsung tidak terkejut dengan gesaan Zahid.

Hisommudin bersetuju yang sistem pengundian di negara ini tidak kalis virus.

“Gesaan ini dilakukan atas arahan semua yang menghadapi kes di mahkamah,” katanya dengan merujuk tuduhan kes rasuah yang dihadapi Zahid.

“Mereka yang menghadapi tuduhan berat atau didapati bersalah berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan bila kita perlu adakan pilihan raya adalah mengejutkan,” katanya.

Ambiga berkata tidak seperti negara lain, sistem pilihan raya di Malaysia tidak bersedia untuk menukar cara mengundi konvensional yang berisiko menyebabkan penularan Covid-19.

“Negara-negara lain mungkin sudah mengadakan pilihan raya ketika awal pandemik tetapi kebanyakan mereka memiliki sistem yang teratur seperti pengundian pos dan undi tanpa hadir, undi elektronik dan cara-cara lain bagi mengelak orang ramai berkumpul,” katanya kepada MalaysiaNow.

Hisommudin bersetuju yang sistem pengundian di negara ini tidak kalis virus.

Katanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya menyediakan sistem pengundian lebih cekap termasuk juga prosedur operasi standard (SOP).

“SPR mensia-siakan peluang yang ada pada tiga pilihan raya – Chini, Slim dan Sabah – bagi memperkenalkan sistem pengundian lebih efisien,” kata Hisommudin yang merupakan pengarah eksekutif Ilham Centre, pusat yang melakukan kaji selidik pilihan raya dan pemerhati pilihan raya kepada MalaysiaNow.

Namun, katanya sikap tidak peduli masyarakat terhadap SOP turut membimbangkan, yang boleh menyebabkan berlakunya lonjakan kes pada hari mengundi.

Sementara itu, Lee berkata idea untuk mengadakan pilihan raya mengejut di saat ini adalah disebabkan perebutan kuasa dan pertikaian dalam kalangan gabungan politik.

“Ia tidak dapat diterima sama sekali jika permainan politik menyebabkan rakyat terdedah kepada bahaya kesihatan,” katanya, dan menambah walaupun jika Malaysia memiliki kewangan mencukupi untuk mengadakan pilihan raya, ia perlu dielakkan pada masa ini.

Thomas Fann yang merupakan pengerusi Bersih ketika ini, tidak percaya pilihan raya akan memberikan kembali kestabilan politik.

Katanya punca masalah adalah kerana tiadanya undang-undang melarang lompat parti.

“Mengadakan pilihan raya umum untuk mengembalikan kestabilan politik hanyalah ilusi dan ia sekadar alasan oleh ahli politik yang tamak ingin merebut kuasa,” kata Fann, dan menambah ini merupakan pandangan peribadinya.