- Iklan -
Berita

Tindakan Jazlan peringatan kepada Bersatu, kata 12 Umno bahagian Kelantan

Mereka berkata langkah Jazlan itu sebagai keputusan berprinsip dalam mempertahankan maruah Umno.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub. Gambar: Bernama

12 daripada 14 Umno Bahagian di Kelantan menyokong tindakan pengerusinya Ahmad Jazlan Yaakub untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata langkah Jazlan itu sebagai keputusan berprinsip dalam mempertahankan maruah parti sambil menganggap ia sebagai peringatan kepada Bersatu supaya berhenti membuli Umno.

“Pendirian yang dinyatakan oleh beliau amat jelas membuktikan ahli parti jangan takut kehilangan jawatan demi mempertahankan parti. Diharap agar pemimpin parti lebih berprinsip dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan hak-hak Umno.

“Tindakan ini juga sebagai peringatan kepada Bersatu supaya jangan memperkecilkan dan membuli Umno seolah-olah parti ini tiada maruah,” kata kenyataan itu.

Antara ketua bahagian yang menandatangani kenyataan itu termasuklah dari Gua Musang, Kota Bharu, Rantau Panjang, Kuala Krai,Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Jeli, Kubang Kerian dan Machang.

Manakala dua bahagian lagi yang tidak menandatangani ialah Ketereh yang dipimpin Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa dan Tanah Merah yang kini digantung.

Sebelum meletakkan jawatan semalam, Jazlan pada hujung minggu lalu mengugut untuk melepaskan jawatannya di MPOB sekiranya kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin tidak meminta perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Selepas tiada sebarang respons kepada ugutannya, ahli Parlimen Machang itu pun meletakkan jawatan sebagai pengerusi MPOB.