- Iklan -
Berita

PN umum pelantikan pengerusi negeri, ketika pemimpin Umno sibuk berkempen tarik diri

14 pengerusi badan perhubungan negeri dilantik yang kesemuanya terdiri daripada pemimpin Bersatu dan PAS.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memimpin negeri kelahirannya, Johor. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memimpin negeri kelahirannya, Johor. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan 14 pengerusi badan perhubungan negeri, sebagai usaha mengukuhkan kedudukan gabungan itu bagi menghadapi pemimpin-pemimpin Umno yang merancang untuk menarik daripada kerajaan.

Senarai pengerusi-pengerusi negeri itu termasuk menteri-menteri besar (MB) yang berada di bawah kerajaan negeri PN, yang kesemuanya terdiri daripada pemimpin daripada Bersatu dan PAS.

Nama-nama lain termasuk, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memimpin negeri kelahirannya, Johor, manakala menteri kanan Azmin Ali akan menerajui Selangor, di mana sebelum ini beliau pernah menjadi MB.

Pengumuman itu dibuat ketika pemimpin-pemimpin Umno akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian hari ini bagi menyakinkan mereka untuk keluar daripada kerajaan PN, dengan meneruskan naratif hak parti itu diketepikan.

Bekas presiden Umno Najib Razak dan penggantinya Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan menerajui gerakan itu, menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok yang akan menentukan hala tuju parti Melayu itu.

Dengan 39 ahli Parlimen, Umno memerlukan tambahan angka daripada DAP, PKR dan Amanah jika ingin membentuk semula kerajaan, satu langkah yang mungkin gagal melihat kepada penolakan pemimpin-pemimpin Umno terhadap sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Hubungan Umno bersama PAS juga dilihat menuju kepada perpecahan, berikutan kritikan berterusan terhadap parti Islam itu yang enggan meninggalkan PN.

PN, yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan beberapa parti di Sabah serta Sarawak, ditubuhkan pada Februari tahun lepas, menyatukan parti-parti politik bagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan selepas PH tumbang.

Umno dan Gabungan Parti Sarawak bukan sebahagian daripada gabungan itu walaupun menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan PN.

Senarai lengkap pengerusi badan perhubungan negeri PN:

Johor: Muhyiddin Yassin
Terengganu: Ahmad Samsuri Mokhtar
Selangor: Azmin Ali
Kelantan: Ahmad Yakob
Perak: Ahmad Faizal Azumu
Kedah: Muhammad Sanusi Nor
Sabah: Hajiji Noor
Pahang: Saifuddin Abdullah
Negeri Sembilan: Eddin Syazlee Shith
Penang: Shabudin Yahaya
Perlis: Mohd Shukri Ramli
Melaka: Rafiq Naizamohideen
Sarawak: Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Wilayah Persekutuan: Muhammad Suhaimi Yahya