- Iklan -
Berita

11 lagi kematian, 2,726 dilaporkan sembuh

1,704 kes baru Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur melakukan sanitasi pada setiap troli sebelum ia digunakan oleh para pelanggan yang berkunjung ke situ.
Seorang pekerja sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur melakukan sanitasi pada setiap troli sebelum ia digunakan oleh para pelanggan yang berkunjung ke situ.

Sebanyak 1,704 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk sembilan jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 119,077 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 2,726 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 97,218 kes atau 81.6%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 673 kes atau 39.5%.

“Ini diikuti Sabah sebanyak 316 kes (18.5) dan Johor 179 kes (10.5%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 21,365.

“Daripada jumlah itu 124 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 51 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat 11 lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 494 orang.

“Enam kes kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing dua kes di Sabah dan Johor serta satu di Kedah,” katanya.

Noor Hisham berkata terdapat sembilan lagi kluster baru dikesan termasuk tiga dilaporkan di Johor melibatkan Kluster Belati, Kluster Wawasan Gading dan Kluster Rengit Sentral.

“Masing-masing dua kluster dikesan di Selangor (Kluster Tapak Bina Perdana Avenue dan Kluster Osmo Jaya) dan di Kelantan (Kluster Manik, dan Kluster Paloh Tumpat),” katanya.

Baki dua lagi kluster adalah Kluster Lintas Seraya di Sabah dan Kluster Stutong di Sarawak.