- Iklan -
Berita

8 lagi kluster baru Covid-19, 6 kematian dilaporkan

Johor melaporkan kes harian baru tertinggi iaitu sebanyak 607 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera mula membuka dan mengemas kawad duri yang dipasang di flat Persiaran Paya Terubong Relau, Pulau Pinang selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kawasan itu ditamatkan pada 27 Disember lalu. Gambar: Bernama
Anggota tentera mula membuka dan mengemas kawad duri yang dipasang di flat Persiaran Paya Terubong Relau, Pulau Pinang selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kawasan itu ditamatkan pada 27 Disember lalu. Gambar: Bernama

Sebanyak 1,870  kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 110,485 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 745 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 87,460 kes atau 79.2%.

“Buat pertama kali, Johor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 607 kes atau 32.5%. Peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes.

“Ini diikuti Selangor sebanyak 472 kes (25.2%) dan Sabah 280 kes (15%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata terdapat lapan kluster baru turut dikesan membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Pahang dan Kedah.

“Dua kluster tempat kerja dilaporkan di daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Stesen dan Kluster Slot Berjaya,” katanya.

Bagi Kluster Tembok Choh ia melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai, dan Mersing di Johor.

Tambah Noor Hisham kluster-kluster lain yang dikesan termasuk Kluster Tapak Bina Broga (Hulu Langat, Selangor); Kluster Jalan Nikolas (Titiwangsa, Kuala Lumpur) dan Kluster Damai Ketari (Bentong, Pahang).

“Kluster Gerbang Pongsu pula melibatkan daerah Kerian dan Kinta di Perak dan Kluster Alor dilaporkan di daerah Kota Setar di Kedah serta daerah Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 22,562.

“Daripada jumlah itu 131 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 62 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat enam lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 463 orang.