- Iklan -
Berita

Perniagaan dalam talian lubuk baru kedai permainan kanak-kanak

Ia membantu peniaga mengatasi masalah kekurangan pelanggan di kedai fizikal akibat kesan Covid-19.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Dua orang kanak-kanak bersama ayah mereka sedang memilih permainan di sebuah pasaraya.
Dua orang kanak-kanak bersama ayah mereka sedang memilih permainan di sebuah pasaraya.

Tanpa kelibat kanak-kanak dan ibu bapa akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai-kedai permainan bertindak beralih ke dalam talian, satu langkah dilihat mampu memberi pulangan lumayan bagi yang memanfaatkannya.

Kedai-kedai permainan kebiasaannya menjadi hub aktiviti, menerima tamparan hebat apabila Covid-19 melanda negara awal tahun ini.

Walapun industri lain turut terkesan, kebergantungan perniagaan permainan terhadap demografi melibatkan kanak-kanak membawanya kepada satu masalah yang unik.

Walaupun ibu bapa mungkin sanggup keluar rumah, tetapi kebanyakan masih enggan mengambil risiko membawa anak-anak mereka ke kawasan dipenuhi orang ramai seperti kedai-kedai dan pusat beli-belah.

Ia menyebabkan banyak kedai permainan termasuk jenama paling popular dalam kalangan mereka sunyi sepi hampir sepanjang tahun.

Tinjauan MalaysiaNow ke beberapa kedai permainan di pusat beli-belah mendapati tiada langsung kehadiran kanak-kanak dan hanya sebilangan kecil pelanggan dewasa berada di dalam premis.

Pengedar dan peruncit permainan Janie & Joe yang berpusat di Kuala Lumpur memberitahu MalaysiaNow jumlah pengunjung yang hadir ke kedai mereka turun mendadak ketika pandemik. Mereka menganggarkan sekitar 30% kehadiran dalam tempoh norma pra pandemik.

Penyelamat mereka adalah perniagaan dalam talian.

Ketika kemuncak pelaksanaan PKP menyaksikan semua perniagaan tidak penting ditutup, namun perniagaan dalam talian mereka terus mencatatkan penjualan memberangsangkan.

“Laman sesawang kami serta kedai di platform e-dagang Lazada dan Shopee sangat sibuk,” kata mereka.

“Ia secara tidak langsung membantu mengimbangi kerugian dari kedai fizikal.”

Penyelamat mereka adalah perniagaan dalam talian.

Walaupun sekarang, kedai bata dan mortar mereka dibuka kembali, platform e-dagang mereka terus mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Kesimpulannya berpindah ke platform digital telah mengubah sama sekali nasib kedai-kedai ini.

Ian Lim daripada Ty Malaysia bersetuju bahawa jumlah pengunjung ke kedai fizikal berkurangan disebabkan pendemik.

“Ia sememangnya memberi kesan serius kepada kami kerana produk kami dijual di pelbagai kedai runcit,” tambahnya.

Tetapi walaupun mengalami kerugian di kedai fizikal, mereka memperoleh keuntungan dalam talian, membolehkan mereka terus menjana pendapatan untuk tahun ini.

Langkah-langkah lain yang turut membantu mereka bertahan termasuk memperkuatkan kehadiran dalam media sosial dan berinteraksi dengan pelanggan, membangunkan saluran penjualan dalam talian, membuka saluran peruncitan baru serta berusaha menyediakan layanan terbaik di kedai-kedai permainan fizikal yang kekal dibuka.

Janie & Joe memberitahu MalaysiaNow pematuhan prosedur operasi standard (SOP) merupakan pertimbangan tambahan buat mereka.

Oleh kerana timbul kebimbangan mengenai kebersihan dan penjarakan sosial, sebagai contoh mereka tidak lagi mempamerkan permainan untuk kanak-kanak bermain di dalam kedai.

“Mujur, ramai ibu bapa terus membeli-belah dalam talian dan pada masa sama menjauhkan diri daripada pusat beli-belah,” kata mereka.

“Ada sebilangan kecil daripada ibu bapa masih datang ke kedai kami untuk membeli permainan, tetapi lebih ramai yang membeli-belah dalam talian.”

Bagi mereka, Covid-19 memberi ilmu berharga mengenai kepentingan platform e-dagang.

“Kami ubah keseluruhan model perniagaan tahun ini sebagai tindak balas kepada pandemik. Kami memindah sumber dan menugaskan semula kakitangan untuk bekerja dalam perniagaan e-dagang,” kata mereka.