- Iklan -
Berita

1,925 kes Covid-19, 9 kluster baru dilaporkan

1,123 pulih, 2 lagi kematian dicatatkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Warden penjara melakukan persiapan penutupan jalan menggunakan kawat duri di perkarangan pintu utama Penjara Jelebu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam. Gambar: Bernama
Warden penjara melakukan persiapan penutupan jalan menggunakan kawat duri di perkarangan pintu utama Penjara Jelebu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam. Gambar: Bernama

Sebanyak 1,925 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 10 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 108,615 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,123 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 86,715 kes atau 79.8%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 747 kes atau 38.8%. Daripada jumlah ini, sebanyak 625 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan saringan kontak rapat.

“Ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 360 kes (18.7%) dan Pahang 288 kes (15%),” katanya dalam satu kenyataan.

Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan sebanyak 282 kes (98%).

Noor Hisham berkata terdapat sembilan kluster baru turut dikesan membabitkan Lembah Klang, Sabah, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kluster-kluster di Lembah Klang melibatkan Kluster Seri Lanang (Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling); Kluster Jalan Chu serta Kluster Tapak Bina Awan Putih (Lembah Pantai) dan Kluster Integra Ikon (Titiwangsa).

Sementara itu Kluster Jalan Satang melibatkan daerah Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur; Hulu Langat, Klang, Petaling dan Gombak di Selangor; serta daerah Bentong di Pahang.

“Kluster-kluster lain adalah Kluster Tembok Mempaga di Bentong, Pahang; Kluster Timbang Dayang di Kota Belud dan Kluster Teguli di Putatan, Sabah,” katanya.

Bagi Kluster Rambai dilaporkan berlaku di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka; Petaling di Selangor; dan Rembau di Negeri Sembilan.

Tambahnya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 21,443.

“Daripada jumlah itu 117 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 55 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat dua lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 457 orang.