- Iklan -
Berita

1,594 kes baru Covid-19, 1,181 pulih, 3 lagi kematian dilaporkan

Terdapat lima kluster baru turut dikesan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota keselamatan melakukan sekatan di hadapan pintu utama Pusat Koreksional Jasin, Melaka yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Gambar: Bernama
Anggota keselamatan melakukan sekatan di hadapan pintu utama Pusat Koreksional Jasin, Melaka yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Gambar: Bernama

Sebanyak 1,594 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tiga jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 106,690 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,181 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 85,592 kes atau 80.2%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 697 kes atau 43.7%. Daripada jumlah ini, sebanyak 593 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan saringan kontak rapat.

“Ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 194 (12.2%) dan Johor 191 kes (12%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 20,643.

“Daripada jumlah itu 116 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 53 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat tiga lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 455 orang.

Terdapat lima kluster baru turut dikesan dengan dua dilaporkan di Kuala Lumpur membabitkan Kluster Tapak Bina Jalan Gadang (Lembah Pantai, Cheras) dan Kluster Menara Sari (Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa).

Baki tiga lagi kluster adalah Kluster Bukit Pasir di daerah Muar, Johor; Kluster Pintu Geng di daerah Kota Bharu, Kelantan dan Kluster Putra 15 di Putrajaya.