- Iklan -
Berita

2,335 kes baru Covid-19, tertinggi pernah dicatatkan

kes aktif dengan kebolehjangkitan melepasi 20,000 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera berkawal di Flat Persiaran Paya Terubong Relau, Pulau Pinang selepas kawasan itu dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 31 Disember ini. Gambar: Bernama
Anggota tentera berkawal di Flat Persiaran Paya Terubong Relau, Pulau Pinang selepas kawasan itu dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 31 Disember ini. Gambar: Bernama

Sebanyak 2,335 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 11 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 103,900 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 874 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 83,414 kes atau 80.3%.

“Kuala Lumpur mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 728 kes atau 31.2% diikuti Selangor 710 kes (30.4%) dan Johor 412 kes (17.6%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 20,035 kes.

“Daripada jumlah itu 108 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 50 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat dua lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 451 orang.

Terdapat 11 kluster baru turut dikesan dengan masing-masing dua dilaporkan di Johor, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Pahang serta satu di Kuala Lumpur.