- Iklan -
Berita

Puji Anwar kerana ambil risiko, ahli Parlimen PKR salahkan Dr Mahathir

Anwar adalah 'satu-satunya pemimpin' bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar. Gambar: Facebook
Bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar. Gambar: Facebook

Seorang penyokong tegar Anwar Ibrahim menyeru agar presiden PKR itu terus disokong dan menyalahkan Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dalam satu isyarat menunjukkan pembangkang masih berpecah antara dua ahli politik veteran itu.

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar berkata, Anwar adalah “satu-satunya pemimpin” bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita semua patut memuji dan berterima kasih kepadanya kerana melakukan semua ini disebabkan beliau merupakan satu-satunya orang yang mengambil risiko untuk mencapai apa yang parti sekutu PH mahukan,” kata ahli Parlimen Kuala Langat yang berkhidmat dalam Kabinet 22 bulan Mahathir.

“Bayangkan jika dia berjaya, semua orang akan menikmati hasil daripada usaha kerasnya.”

Anwar dan penyokongnya sudah beberapa kali mendakwa mempunyai majoriti untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin Yassin, selepas kerajaan PH tumbang pada Februari.

Beberapa pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini bagaimanapun menunjukkan perdana menteri masih mempunyai kelebihan sokongan.

Xavier mengatakan Mahathir mensia-siakan peluang diberikan PH untuk memimpin kerajaan.

“Bayangkan jika dia berjaya, semua orang akan menikmati hasil daripada usaha kerasnya.”

“Rakyat perlu memahami keadaan negara sekarang dan kejatuhan kerajaan PH bukan disebabkan Anwar tetapi kerana keputusan sepihak Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tanpa berbincang dengan pemimpin PH lain.

“Ini dilakukan selepas kita memberikannya peluang bersama kita untuk membuat perubahan. Walaupun partinya adalah minoriti dalam kerajaan, kita memberikannya peluang untuk menjadi perdana menteri tetapi dia tetap gagal untuk melaksanakannya,” katanya.

Semasa kempen pilihan raya umum pada 2018, PH berjanji kepada rakyat Malaysia sekiranya menang, Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri.

Ini menyebabkan PH mendapat undi Melayu yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, mengakhiri dominasi Barisan Nasional selama 60 tahun.

Selain itu, PH mengatakan Anwar akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Sebaik sahaja dibebaskan daripada penjara, desakan dilakukan Anwar dan penyokongnya agar Mahathir meletakkan jawatan.

Desakan berterusan sehinggalah Mahathir meletakkan jawatan pada Februari menyebabkan kerajaan 22 bulan PH tumbang.

Hari ini DAP dan Amanah menggesa Anwar agar tidak membuang masa untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen kerajaan untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, kekalahan tipis gabungan itu dalam pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Selasa seharusnya dilihat sebagai peluang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang di luar PH.

Pejuang pimpinan Mahathir dan Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal adalah antara parti pembangkang yang tidak berada dalam PH.