- Iklan -
Berita

1,772 kes baru Covid-19, 696 di Kuala Lumpur

1,084 pesakit pulih dan tiga kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Norma baru…kelihatan seorang wanita warga emas memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Gambar ini dirakam pada 29 September lalu di Petaling Jaya.
Norma baru…kelihatan seorang wanita warga emas memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Gambar ini dirakam pada 29 September lalu di Petaling Jaya.

Sebanyak 1,772 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 12 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 86,618 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,084 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 71,681 kes atau 82.8%.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 696 kes atau 39.9%. Daripada jumlah itu sebanyak 567 kes dilaporkan daripada Kluster Tapak Bina Damanlela melibatkan generasi kelima dan keenam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noor Hisham, Selangor merekodkan sejumlah 503 kes atau 28.4%, diikuti Sabah dengan 260 kes (14.7%).

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 14,515 kes.

“Daripada jumlah itu 118 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 56 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat tiga lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 422 orang.