- Iklan -
Berita

1,937 kes baru Covid-19, 823 di Selangor

911 pesakit pulih dan sembilan kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dua anggota keselamatan menjalankan rondaan di sebuah kawasan perumahan di Petaling Jaya selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Gambar ini dirakam pada 22 September lalu.
Dua anggota keselamatan menjalankan rondaan di sebuah kawasan perumahan di Petaling Jaya selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Gambar ini dirakam pada 22 September lalu.

Sebanyak 1,937 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 82,246 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 911 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 68,084 kes atau 82.8%.

“Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 823 kes atau 42.5%. Sebanyak 714 kes (86.8%) dilaporkan daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat.

“Sabah merekodkan 429 kes (21.1%) dan Kuala Lumpur sebanyak 238 (12.3%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, kes aktif kini berjumlah 13,751 dengan 121 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 66 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat sembilan lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 411 orang,” katanya.

Terdapat tiga lagi kluster baru dikesan membabitkan Kluster Bukit Gemok di daerah Tawau di Sabah, Kluster Tapak Bina Cendana di Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras serta Kluster Dang Mutiara melibatkan daerah Gombak (Selangor), Dungun dan Kemaman (Terengganu).