- Iklan -
Berita

Kerajaan tak berhasrat laksana semula GST, tumpu 3 perkara utama

3 perkara tumpuan ialah menjaga kesihatan rakyat, menjaga kelangsungan ekonomi, dan memastikan ketahanan ekonomi.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
GST yang diperkenalkan ketika pentadbiran Najib Razak pada April 2015. Gambar: AFP
GST yang diperkenalkan ketika pentadbiran Najib Razak pada April 2015. Gambar: AFP

Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada ketika ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan sedang memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu menjaga kesihatan rakyat, menjaga kelangsungan ekonomi, dan memastikan ketahanan ekonomi.

“Kita akan kaji semua itu dan kita lihat dalam Belanjawan (2021), kita banyak tumpuan langkah lain bagi kurangkan ketirisan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang minta kerajaan menyatakan sama ada ketidakstabilan negara ketika ini, adakah kerajaan bercadang melaksanakan GST pada tahun hadapan.

GST yang diperkenalkan ketika pentadbiran Najib Razak pada April 2015 menimbulkan kemarahan rakyat sehingga Barisan Nasional (BN) ditewaskan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Selepas mengambil alih Putrajaya, Pakatan Harapan bertindak memansuhkan GST dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Shahar berkata, kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan semula hutang negara dilaksanakan secara teratur mengikut jadual.

Katanya, dalam situasi krisis pandemik Covid-19 yang masih berlarutan ini, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi terutamanya bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong aktiviti perniagaan.

Selepas mengambil alih Putrajaya, Pakatan Harapan bertindak memansuhkan GST dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Setelah ekonomi kembali pulih, kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam usaha memastikan paras pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan persekutuan kekal terkawal dan terurus.

“Langkah tersebut termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan.

“Oleh yang demikian, keperluan pinjaman kerajaan akan dapat dikurangkan dan seterusnya ini akan dapat mengawal pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan persekutuan.”

Katanya, pada ketika ini hutang kerajaan persekutuan pada akhir September 2020 ialah sebanyak RM874.3 bilion atau 60.7% kepada KDNK.

Katanya, berdasarkan pengiraan had statutori, (Akta 275 Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta 637 Akta Pinjaman (Tempatan)1959) nisbah hutang kerajaan persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) baru mencatat 56.6% daripada KDNK iaitu kurang daripada had 60% yang baru ditetapkan (Akta 830 Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan (Penyakit Koronavirus 2019 Covid-19).

“Dengan mengambil kira kesemua tanggungan sedia ada, secara keseluruhannya pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan berjumlah RM1,257 bilion atau 87.3% daripada KDNK pada akhir September 2020.”