- Iklan -
Berita

1,600 kes baru Covid-19, 541 di Negeri Sembilan

Selangor dan Sabah masing-masing merekodkan 426 dan 248 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan memakai pelitup muka ketika membeli barang keperluan harian di sebuah kedai runcit di kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan memakai pelitup muka ketika membeli barang keperluan harian di sebuah kedai runcit di kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Sebanyak 1,600 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tiga jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 74,294, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,033 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 62,306 kes atau 83.9%.

“Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 541 atau 33.8%, diikuti Selangor 426 kes (26.6%) dan Sabah 248 kes (15.5%).

“Lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes yang merupakan kes terasing di dalam kawasan penjara,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, kes aktif kini berjumlah 11,604 dengan 129 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 57 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 384 orang,” katanya.

Dua kluster baru turut dikesan membabitkan Kluster Malawati di daerah Kuala Selangor, Selangor dan Kluster Tapak Bina Awan Lembah melibatkan Lembah Pantai dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.