Thursday, June 17, 2021

Senada dengan Zahid, DAP juga bersedia bekerjasama dengan Umno di Perak

Nga Kor Ming berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno.

Other News

Selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan di Perak, DAP pula menerima dengan hati terbuka, mengatakan mereka bersedia “demi kepentingan rakyat” dan “bagi membentuk kerajaan yang stabil.”

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno.

“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membantu membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat, dan stabil.

“Saya terbuka dengan sebarang perbincangan yang membina. Kami bersedia,” kata Nga seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai 59 kerusi dan Umno mempunyai 25 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sementara DAP mempunyai 16.

Sekiranya Umno dan DAP bergabung, mereka mampu membentuk kerajaan yang stabil tanpa mana-mana parti politik lain.

Parti-parti lain yang mempunyai kerusi dalam DUN Perak termasuklah Bersatu (5 kerusi), Amanah (5 kerusi), PKR (3 kerusi), PAS (3 kerusi), Gerakan (1 kerusi) dan satu Adun bebas.

Zahid hari ini tidak menolak kemungkinan menubuhkan kerajaan baru di Perak bersama PH yang dianggotai DAP, Amanah dan PKR.

Zahid berkata, Umno mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk di Perak lebih kukuh dukungannya.

Jumaat lepas Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Adun dalam usul keyakinan terhadap menteri besar yang dikemukakan pada sidang DUN Perak.

Dalam undian sulit yang dijalankan, Faizal yang juga Adun Chenderiang, hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

PAS pada Jumaat menyatakan tidak akan menyertai sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak dan kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles