- Iklan -
Berita

Umno mungkin tubuh kerajaan bersama PH di Perak, kata Zahid

Zahid berkata, Umno mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk di Perak lebih kukuh dukungannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjawab pertanyaan media selepas mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjawab pertanyaan media selepas mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta hari ini. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan menubuhkan kerajaan baru di Perak bersama Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, Amanah dan PKR susulan kenyataan dikeluarkan Bersatu dan PAS sebelum ini.

Zahid berkata, Umno mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk di Perak lebih kukuh dukungannya.

“Kita tahu kenyataan Setiausaha Agung PAS dan Bersatu, jadi satu pendekatan akan diambil oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembentukan kerajaan baru,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Kinta di Ipoh hari ini.

“Oleh itu, saya akan kemukakan cadangan nama kepada Sultan Perak untuk perkenan Tuanku dan Tuanku yang akan tentukan secara mutlak.

“Kerana, itu kuasa Tuanku sepenuhnya bagi menentukan siapa yang akan diperkenankan sebagai menteri besar Perak yang baru.”

Pada Jumaat, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu menetapkan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru sementara Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Umno menyingkirkan timbalan presiden partinya Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar.

Zahid berkata, Umno dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam PH seperti DAP, Amanah dan PKR.

“Kita akan lihat semua kemungkinan. Saya sebutkan, seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi kalau itu kita tidak dapat lakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baru.

“Semua kemungkinan akan ada. Itu tertakluk kepada keputusan muktamad oleh pihak parti,” katanya.

Zahid berkata, Umno dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam PH seperti DAP, Amanah dan PKR.

Zahid berkata mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak malam tadi dihadiri semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno.

“Dan, perbincangan dengan parti-parti lain di negeri Perak diadakan oleh pemimpin-pemimpin Umno and BN Perak. Manakala saya akan adakan perbincangan di peringkat pusat,” katanya.

Zahid berkata selepas perbincangan dapat dimuktamadkan, Umno akan mengemukakan nama calon menteri besar Perak yang baru.

Jumaat lepas Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti Adun dalam usul keyakinan terhadap menteri besar yang dikemukakan pada sidang DUN Perak.

Dalam undian sulit yang dijalankan, Faizal yang juga Adun Chenderiang, hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 Adun BN yang kesemuanya daripada Umno, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.