Monday, September 20, 2021

PAS hukum ‘pengkhianat’ Umno di Perak?

PAS kecewa dengan tindakan Umno yang tidak menghormati permuafakatan dalam Perikatan Nasional (PN).

Other News

PAS tidak mahu menyertai kerajaan baru di Perak kerana kecewa dengan tindakan Umno yang tidak menghormati permuafakatan dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu disingkirkan sebagai menteri besar, kata sumber.

Sumber PAS berkata, tindakan Umno itu sebagai “tidak mengenang budi” Bersatu yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan “memungut” parti Melayu itu untuk bersama-sama membentuk kerajaan selepas 22 bulan menjadi pembangkang.

“Pengkhianatan Umno itu tidak boleh diterima PAS, seperti yang dikatakan Yang Dipertua PAS Perak Razman Zakaria dalam sidang DUN semalam, Faizal Azumu sudah berkorban meninggalkan PH, menjemput Umno dan PAS membentuk kerajaan di Perak,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

“Sekarang kita nak tengok, apakah Umno sanggup bersama DAP dan PH untuk membentuk kerajaan di Perak.”

Semalam Faizal yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang digulingkan daripada jawatan menteri besar selepas gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan Umno dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan semalam menyaksikan 10 Adun bersetuju, 48 tidak bersetuju manakala satu undi rosak atau berkecuali.

“Sekarang kita nak tengok, apakah Umno sanggup bersama DAP dan PH untuk membentuk kerajaan di Perak.”

Ahli Dewan Negara Perak Annuar Zaini berkata hari ini Sultan Nazrin Shah menitahkan agar parti politik di negeri itu mencari formula terbaik bagi membentuk kerajaan baru.

Menurut sumber sama, kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semalam adalah tepat kerana parti Islam itu tidak mahu dilihat sebagai “lalang” “selepas undi sokong Faizal, sokong Umno pula untuk lantik MB baru”.

“PAS mengambil pendekatan untuk terus berperanan seperti biasa sebagai wakil rakyat di peringkat negeri dan mengambil ketetapan untuk tidak terlibat dalam apa jua barisan exco baru kerajaan negeri Perak demi menjaga hubungan dengan PN,” tambah sumber itu.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusof menyifatkan Umno Perak harus “memujuk” kembali Bersatu dan PAS agar DAP tidak kembali menguasai pentadbiran kerajaan di negeri itu.

“Umno Perak perlu akui kesilapan dan memohon maaf daripada Bersatu dan PAS Perak bagi memastikan Perak tak jatuh ke tangan PH.

“Berilah kepercayaan kepada Sultan Perak untuk pilih siapa saja daripada nama bakal MB yang dicalonkan oleh Umno, Bersatu dan PAS,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya senario politik yang berlaku di Perak harus dijadikan pengajaran agar kerjasama antara parti-parti yang mendokong kerajaan PN dapat diperkukuhkan.

“Pengajarannya ialah semua pihak perlu lebih ikhlas dalam berkawan. Yang jadi ketua kerajaan kena sentiasa runding parti rakan.

“Parti rakan yang tak puas hati dengan ketua kerajaan perlu kemukakan masalah mereka melalui saluran yang betul supaya hubungan tidak berantakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kamarul yang merupakan pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis) berkata, tindakan mengemukakan usul undi percaya itu dilihat sedikit sebanyak mampu menjejaskan kerjasama dan percaturan politik PN di peringkat persekutuan.

“Ya, sudah pasti kerana MB yang dijatuhkan adalah timbalan presiden parti rakan. Lukanya pasti ada dan dalam.

“Ia agak membingungkan tatkala hubungan di peringkat pusat sudah kelihatan semakin baik dengan penubuhan Majlis Presiden PN, hasil cadangan Umno sendiri, membabitkan presiden semua parti yang menjadi anggota kerajaan diterima baik oleh semua pihak.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles