- Iklan -
Berita

Vaksin Covid-19 ditunggu-tunggu datang dengan masalah tersendiri

Proses logistik Covid-19 dlihat menjadi cabaran utama mendapatkan vaksin itu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 21 Oktober lalu, menunjukkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk Flat Pelangi Damansara di Jalan Surian selepas kawasan itu merekodkan 23 kes positif.
Gambar yang dirakam pada 21 Oktober lalu, menunjukkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk Flat Pelangi Damansara di Jalan Surian selepas kawasan itu merekodkan 23 kes positif.

Kerajaan menandatangani dua perjanjian bagi memastikan berjuta-juta rakyat negara ini akan menerima suntikan vaksin bagi mencegah virus Covid-19.

Perjanjian dengan syarikat gergasi farmaseutikal Pfizer, yang vaksinnya masih menunggu kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) pada 10 Disember ini bakal memberi manfaat kepada 6.4 juta rakyat Malaysia, atau 20% daripada populasi penduduk.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini mengumumkan berita baik mengenai vaksin Pfizer itu berkata 6.4 juta rakyat akan menerima dua suntikan dalam tempoh selang tiga minggu.

Satu lagi vaksin diperoleh melalui kerjasama dengan Covax untuk memerangi Covid-19, dijangka memberikan akses kepada 3.2 juta rakyat Malaysia atau 10% penduduk.

Kedua-dua bekalan vaksin itu dijangka diperoleh Malaysia bermula suku pertama tahun depan, melibatkan 9.6 juta penduduk negara ini.

Vaksin yang dikeluarkan syarikat Pfizer lebih menarik tumpuan ramai. Ini kerana syarikat itu melaporkan keberkesanan sehingga 95% apabila dua dos suntikan diberikan.

Sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada FDA, kira-kira 6.4 juta dos vaksin akan diedarkan ke seluruh AS.

AS yang mencatatkan sebanyak 13 juta kes dan lebih daripada 265,000 kematian merupakan antara negara paling teruk terjejas oleh pandemik Covid-19, berlumba mencari vaksin virus itu.

Disebabkan itu, bagaimana vaksin itu diedarkan dan digunakan di AS bakal menjadi tumpuan negara-negara lain, serta akan memberi Malaysia ruang untuk mempelajarinya.

Sebuah kumpulan kesihatan awam tempatan baru-baru ini memberi amaran mengenai kebimbangan terhadap vaksin dikeluarkan Pfizer.

Kedua-dua bekalan vaksin itu dijangka diperoleh Malaysia bermula suku pertama tahun depan, melibatkan 9.6 juta penduduk negara ini.

Vaksin itu perlu disimpan dalam suhu amat sejuk -70 ° Celsius, ini bermaksud proses logistik semasa vaksin itu diedarkan adalah sama penting seperti menyuntik ubat itu kepada berjuta-juta orang.

“Kami menjangkakan perkara paling mencabar adalah proses penghantaran vaksin itu ke kawasan luar bandar. Disebabkan kebimbangan terhadap keupayaan yang terhad dan pragmatik, adakah kawasan bandar lebih diutamakan berbanding luar bandar?” soal Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib.

Masalah logistik itu dilihat timbul seawal Mei lalu oleh pentadbiran Trump, yang melancarkan “Operation Warp Speed”, satu usaha melibatkan sektor awam dan swasta bagi mempercepatkan proses pengeluaran dan pengedaran vaksin Covid-19.

Di AS, rancangan mengedar vaksin Pfizer bakal menggunakan bekas khas yang dibungkus bersama ais kering, atau penghantar terma, yang mampu memuatkan sehingga 5,000 dos suntikan.

Tetapi ais itu perlu diisi semula untuk mengekalkan keupayaan vaksin, dan bekas itu tidak boleh dibuka lebih daripada dua kali.

Azrul turut menyoal adakah kementerian kesihatan akan membeli vaksin bersama dengan bekas simpanan khas itu.

“Adakah kita akan mendapatkan bekas khas Pfizer? Sudahkah kita mempunyai sistem penyimpanan rekod yang diperlukan?”

Sebaik sahaja ia dihantar, vaksin itu hanya boleh disimpan selama lima hari dalam peti sejuk biasa.

Mereka yang ditugaskan untuk menyuntik vaksin itu turut memerlukan latihan khas bagi mengendalikannya.

Sebagai contoh, vaksin Pfizer perlu dilarutkan dengan salina, tidak seperti vaksin yang lain.

“Ia bukan perkara yang boleh anda buat dengan hanya menonton video dan kemudian lakukan,” kata Claire Hannan, pengurus persatuan imunisasi, sebuah kumpulan yang berminat dengan vaksin di AS kepada The Economist baru-baru ini.

Pada masa ini, pihak AS sedang melakukan “ujian percubaan” bagaimana untuk menyuntik vaksin itu secara efektif sebaik sahaja ia sampai.

Beberapa persoalan timbul mengenai masalah-masalah yang bakal timbul mengenai vaksin yang dinanti-nanti dunia sejak kebelakangan ini.

Terdapat keraguan sama ada dua dos suntikan sudah mencukupi, atau vaksin Covid-19 itu sama sahaja dengan vaksin selesema lain yang diambil setiap tahun.

Tetapi apa yang lebih mencabar adalah wujud keraguan mengenai kesan sampingan kepada masyarakat, terutama jika vaksin itu dilihat dikeluarkan dalam keadaan terburu-buru, selepas perlumbaan global dalam usaha mencari penawar menghentikan Covid-19 yang sudah meragut lebih daripada satu juta nyawa dan menyebabkan ekonomi dunia merudum.

Ogos lalu, satu kaji selidik mendapati seorang daripada tiga penduduk Amerika enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun percuma dan mendapat kelulusan FDA.

Wujud kebimbangan mengenai barisan hadapan yang tidak dilatih bagi menjawab soalan orang ramai bagi menghilangkan keraguan mereka.

AS menghadapi kesukaran untuk menangani masalah ini, dan pakar menjangkakan kira-kira AS$10 bilion atau RM40.6 bilion diperlukan untuk kempen dan persediaan pemvaksinan.

Pihak berkuasa Malaysia perlu bertanya soalan yang sama pada hari dan minggu-minggu akan datang.

Ketika beribu-ribu petugas barisan hadapan bersiapsiaga untuk menjadi antara yang pertama menerima suntikan vaksin, pihak berkuasa mungkin perlu melakukan ujian percubaan yang sama dan harus memikirkan penyelesaian dalam mengurus program pemvaksinan.