- Iklan -
Berita

1,309 kes baru Covid-19, 493 di KL

Angka keseluruhan Covid-19 kini berjumlah 64,485 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 22 September lalu menunjukkan sukarelawan Mercy Malaysia menjahit pakaian pelindung diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.
Gambar yang dirakam pada 22 September lalu menunjukkan sukarelawan Mercy Malaysia menjahit pakaian pelindung diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Sebanyak 1,333 pesakit yang menerima rawatan Covid-19 telah sembuh sepenuhnya menjadikan angka keseluruhan mereka yang pulih kini berjumlah 52,647 orang atau 81.6%, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata sebanyak 1,309 kes baru jangkitan Covid-19 termasuk satu kes import, menjadikan bilangan terkumpul penularan pandemik itu dalam negara berjumlah 64,485 orang.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 493 kes atau 37.7%, dengan 473 kes (95.9%) dilaporkan daripada kluster-kluster di tempat kerja (tapak pembinaan).

“Sabah mencatatkan sebanyak 290 kes (22.2%) dan Selangor pula merekodkan 238 kes (18.2%),” katanya.

Katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 11,481 kes, 116 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 42 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga lagi kematian baru dilaporkan, menjadi jumlah kumulatif mereka yang maut akibat Covid-19 meningkat kepada 357 orang,” katanya.

Terdapat empat lagi kluster baru turut dikesan iaitu membabitkan Kluster Tapak Bina Sungai Mulia (Titiwangsa, Kuala Lumpur), Kluster Batu Lima (Kota Kinabalu, Sabah), Kluster Yayasan (Klang, Selangor) dan Kluster Hilir (Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan).