- Iklan -
Berita

SPRM tidak ‘pilih bulu’ siasat kes rasuah termasuk ahli politik, kata menteri

2,287 kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.
SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak “memilih bulu” dalam menyiasat kes rasuah sama ada membabitkan orang awam, kakitangan kerajaan mahu pun ahli politik serta pemimpin kerajaan kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau Akta 694.

Katanya, akta berkenaan menjelaskan mana-mana pihak atau orang dengan sendiri atau melalui beberapa orang lain melakukan kesalahan rasuah seperti ditakrifkan mengikut Seksyen 16 akta sama maka ia dianggap melakukan suatu kesalahan rasuah tidak kira mereka adalah orang awam, pegawai kerajaan mahu pun pimpinan politik.

“Satu perkara lagi saya ingin saya sebut ialah mengenai satu pindaan baru iaitu Seksyen 17A di mana akta ini merangkumi kesalahan rasuah dibuat oleh organisasi komersial bukan hanya orang perseorangan dianggap melakukan kesalahan rasuah.

“Jika mereka melakukan kesalahan Seksyen 17A ini meletakkan kesalahan kepada orang yang menjadi pengarah, pengawal, pegawai atau mereka terbabit dengan pengurusan hal ehwal organisasi berkenaan.

“Jadi inilah usaha bagi menunjukkan kerajaan serius menangani rasuah termasuk dalam kalangan orang politik sendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR- Kapar) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan melebar luaskan pemantauan terhadap jenayah rasuah yang dianggapnya amat jijik terhadap semua peringkat termasuk membabit pemimpin politik dalam kerajaan.

Takiyuddin turut mengesahkan SPRM sudah membuka 2,287 kertas siasatan ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan mengenai kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, dalam tempoh tahun 2016 sehingga September 2020.

Statistik berkenaan menunjukkan kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

“SPRM selaku agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

“Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dilaksanakan sebagai pencetus usaha-usaha pencegahan rasuah. Sebagai contoh setiap agensi perlu ‘tools’ seperti ‘Corruption Risk Management (CRM), Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Anti Bribery Management System’ dalam usaha mengekang perlakuan rasuah.

“Sehingga kini 139 agensi sudah terbabit sesi libat urus dengan SPRM bagi pelaksanaan CRM, manakala bagi pelaksanaan OACP pula sebanyak 40 agensi.”

Takiyuddin berkata, kerajaan mengambil inisiatif untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sistem akademik atau pendidikan formal di institut pengajian tinggi (IPT).

Katanya perkara berkenaan selaras dengan inisiatif 2.4.7 Pelan Anti rasuah Nasional (NACP) iaitu “Memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib universiti pada peringkat ijazah pertama yang menekankan kepada aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran”.